Tuesday, 19 September 2017

Pelajar Tahfiz Yang Terselamat Bongkarkan Lakonan Mantap Suspek Pada Pagi Kejadian!

Pelajar Tahfiz Yang Terselamat Bongkarkan Lakonan Mantap Seorang Suspek Pada Pagi Kejadian!
Berpura-pura tidak mengetahui apa yang berlaku. Itu lakonan seorang daripada suspek yang dipercayai dalang kebakaran meragut 23 nyawa penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, dekat Jalan Keramat Hujung apabila kembali ke lokasi beberapa jam selepas kejadian.
Malah, dalam kesibukan orang ramai.. suspek berusia 15 tahun itu datang ke lokasi kejadian untuk melihat kesan perbuatan khianat mereka tanpa perasaan bersalah.
Lakonan mantap suspek itu nyata tidak dapat dihidu sesiapa apabila turut berbual dengan seorang pelajar tahfiz pusat itu seperti tidak mengetahui apa yang berlaku.
Pelajar tahfiz terbabit ketika ditemui mengakui tidak mengesyaki apa-apa kerana suspek terbabit memberi reaksi seperti orang ramai yang datang menyaksikan kejadian, tertanya-tanya mengenai apa yang sedang berlaku.
“Saya terjumpa dia (suspek) jam 8 pagi hari kejadian.
Dia datang dekat saya dan tanya macam mana boleh jadi macam ni. Masa tu saya tidak syak apa-apa sampailah dapat tahu dia salah seorang yang ditahan polis,” katanya.
Pelajar berkenaan bersyukur kerana terselamat kerana kebetulan pulang ke rumah keluarganya malam sebelum kejadian.
“Saya sedang tidur sebelum dikejutkan oleh ibu yang memaklumkan pusat tahfiz terbakar.
“Saya ingat ibu bergurau tetapi sebaik mengetahui kejadian itu, saya dan bapa terus ke lokasi.
“Sebaik tiba, saya dapati asrama pusat tahfiz sudah musnah. Saya tak sangka akan kehilangan ramai kawan dan ustaz (warden),” katanya.
Dalam kejadian 5.15 pagi 15 September lalu, seramai 23 penghuni Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah terkorban selepas tingkat tiga premis itu yang menempatkan asrama terbakar.
Tujuh suspek berusia 11 hingga 18 tahun ditahan kerana mendalangi kebakaran. Hasil siasatan turut membongkar motif kejadian adalah untuk membalas dendam.
Semua suspek kini direman sehingga 22 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 435 kanun sama kerana melakukan khianat dengan api.
HMetro, BHarian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib