Thursday, 23 February 2017

Ketahui Kos Sebenar Pemilik Kereta Perlu Tanggung

Sebelum ini kami ada menyiarkan pasal Kalau Gaji RM2,500, Belilah Kereta Bernilai RM30,000, iaitu dengan kiraan kasar Gaji x 12 Bulan. Ini bermakna jika anda bergaji RM2,500 sebulan maka anda selayaknya memandu kereta bernilai RM30,000.
Ada yang seakan tidak percaya, tetapi ada beberapa sebabnya, iaitu anda perlu tahu kos sebenar pemilikan kereta.
Ini adalah kerana kos sebenar memiliki kereta adalah jauh melangkaui bayaran bulanan sewa beli dengan pihak bank! Di antara kos-kos lain yang terlibat, samada kita sedar atau tidak adalah:

#1. Insurans / Takaful Kereta

Perlu diperbaharui setiap tahun. Tanpa insurans, cukai jalan tidak boleh diperbaharui. Premium yang perlu dibayar bergantung kepada nilai semasa kereta dan jenis liputan perlindungan (comprehensive/third party). Ini merupakan kos lebur, tiada nilai tebus balik kecuali disebabkan pembatalan polisi kerana menjual kereta atau sebagainya. 

#2. Cukai Jalan

Dibayar kepada kerajaan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Diperbaharui setiap 6 atau 12 bulan, dan bergantung kepada kapasiti enjin.
Sebagai contoh; 1000cc (RM20/tahun), 1300cc (RM70/tahun), 1500cc (RM90/tahun) dan 2000cc (RM380/tahun). 

#3. Harga Petrol/Diesel

 

Bergantung kepada harga petrol semasa, jarak perjalanan harian dan keupayaan enjin. Cara pemanduan juga sedikit sebanyak mempengaruhi penggunaan minyak. Kereta-kereta baru moden biasanya dilengkapkan dengan pelbagai teknologi untuk menjimatkan penggunaan minyak. Biasanya penggunaan diukur dengan unit kilometer per liter (km/L). Data biasanya boleh diperolehi daripada brocur pengeluar kereta. 
Sebagai contoh Perodua Axia auto boleh bergerak sejauh 21 km bagi setiap liter minyak. Kalau Honda Civic 2.0 pula dalam 11 km bagi setiap liter minyak.

#4. Kos Penyelenggaraan dan Servis

Untuk memelihara kebolehpanduan dan keselesaan, kereta perlu diservis mengikut jadual yang ditetapkan. Kos bergantung kepada jenama dan umur kereta yang dipandu, dan boleh mencecah ratusan ringgit malah ribuan ringgit untuk setiap lawatan servis!
Antara yang kerap ditukar/diservis adalah minyak enjin, minyak gear, penapis minyak enjin, penapis udara, palam pencucuh dan alas brek. 
Sebagai contoh; Kos bagi kereta Honda biasanya mencecah RM300 – RM500 bagi sekali servis minor. Kalau major servis boleh mencecah sehingga RM1,000 (Fakta ini diambil berdasarkan pengalaman penulis)

#5. Kos Tidak Terjangka

 

Akibat daripada “wear-and-tear” penggunaan biasa, kerosakan komponen yang tidak ditanggung oleh jaminan pengeluar dan penggantian kritikal seperti bateri kereta dan tayar.
Sebagai contoh harga bateri jenama Century bermula dari RM190. Harga tayar Michelin pula dalam lingkungan RM300 sebiji. Nak lebih murah tayar jenama Goodyear dalam lingkungan RM200 sebiji. 4 biji kot nak tukar. Pandai-pandailah cari tayar yang murah ya!
Tanamkan sifat prihatin; aspek keselamatan tidak sepatutnya dikompromi dalam apa jua keadaan sekalipun! 

#6. Kos Tol/Parkir

Jika kereta digunakan untuk ulang alik ke pejabat, maka tentunya kos tol dan parkir harian perlu diambilkira. Jika anda menetap di bandar-bandar besar, kos ini juga boleh mencecah ratusan ringgit sebulan tanpa kita sedari.
Sebagai contoh kadar parkir di bandaraya Kuala Lumpur telah pun dinaikkan berkuatkuasa Julai 2016. Jika diambil RM1.50 sejam x 8 jam bekerja = RM12 sehari!

#7. Kos Susut Nilai (Depreciation)

Perbezaan di antara nilai asal sewaktu anda beli kereta dengan nilai semasa. Bergantung kepada pelbagai aspek seperti keadaan kereta, permintaan, spesifikasi dan lain-lain. Hal ini perlu diambil kira kerana anda boleh membuat anggaran kerugian yang akan ditanggung apabila menjual semula kereta tersebut. Secara amnya, susut nilai kereta adalah di dalam lingkungan 8% hingga 15% setahun.

Perit Menanggung Sebenarnya?

Apabila dilihat semula dengan terperinci, banyak juga kos-kos yang terlibat. Perlu diingat juga kos pembiayaan kereta yang dipersetujui bersama bank asalnya juga telah dikenakan faedah ke atasnya bergantung kepada tempoh pembayaran balik.
Tidak memeranjatkan bahawa pinjaman kereta adalah antara punca utama rakyat Malaysia menjadi bankrap kerana memandang rendah kos sebenar pemilikan kereta! Kereta adalah liabiliti, dan bukannya aset. Diharap kita semua akan lebih berhati-hati dan mempertimbangkan perihal ini apabila merancang untuk membeli kereta baru kelak.
Ditulis Oleh: Kamil Adlee

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib