Perdana Menteri berkata, pada 26 Disember lalu, Dr. Mahathir membuat kenyataan kononnya pemberian BR1M itu rasuah dan salah di sisi undang-undang.
Bagaimanapun semalam, kata beliau, bekas Perdana Menteri itu iaitu dalam tempoh kira-kira tiga minggu sahaja mengubah pendirian dan membuat pusingan U dengan membayangkan tidak akan menghapuskan bantuan berkenaan jika pembangkang berjaya menguasai kerajaan.

''Ini beerti jika dilihat kebelakangan ini, beliau membuat terlalu banyak U-turn dari segi pendiriannya. Jadi kita boleh anggap beliau sebagai jaguh U-turn.

''Beliau membuat kenyataan satu demi satu yang bercanggah sama sekali dengan pendiriannya sebelum ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan hadiah kecemerlangan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) 2016 serta bantuan 'Kembali Ke Sekolah' Parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Ketika berucap dalam majlis pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Stadium Malawati di Shah Alam, Selangor malam tadi, Dr. Mahathir yang juga Pengerusi parti itu me­mbayangkan pemberian BR1M akan dite­ruskan dan akan diagihkan oleh pegawai-pegawai kerajaan. - UTUSAN ONLINE