Monday, 11 July 2016

Tambah pondok tol atasi kesesakan LPT2

GAMBAR hiasan. 
KEMAMAN: Kerajaan negeri akan menambah pondok kutipan tol terutama di Plaza Tol Gemuruh, Kuala Terengganu, bagi mengelak kesesakan teruk di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) itu, terutama pada musim perayaan.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman, berkata pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) minggu lalu bagi mengatasi masalah itu.
Beliau berkata, cadangan itu termasuk melebarkan lebuh raya di situ dan membina beberapa lagi pondok kutipan tol yang dilihat tidak memerlukan perbelanjaan besar.
“Kita akan berusaha menyelesaikan masalah itu dan kita akui plaza tol terbabit sesak dengan lebih 500,000 kenderaan melalui kawasan itu terutama pada musim perayaan Aidilfitri,” katanya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di Kemasik, petang semalam.
Rosli berkata, tiga pondok kutipan tol sedia ada tidak mencukupi dan keadaan itu menyebabkan kesesakan jalan raya teruk sehingga lebih lima kilometer terutama kepada perantau yang mahu pulang ke Kuala Terengganu, Setiu, Besut dan Kelantan.
“Hari ini saya dimaklumkan jalan dari Kota Bharu, Kelantan ke Plaza Tol Gemuruh mengalami kesesakan teruk lebih 30 kilometer apabila orang ramai mula kembali ke ibu kota,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati semua pengguna lebuh raya supaya berhati-hati dan tidak memandu laju bagi mengelak kejadian tidak diingini terutama kemalangan jalan raya.
“Setakat 30 Jun hingga hari ini, tiada kemalangan maut direkodkan di LPT2 dan kita berharap rekod baik itu dapat dikekalkan,” katanya. -berita harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib