Thursday, 28 July 2016

Mengaku salah bunuh bapa di Losong

Mengaku salah bunuh bapa
Md Rusdi mengaku salah membunuh bapa kandungnya tanpa niat semasa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam.

KUALA TERENGGANU - Seorang tukang rumah mendakwa terdengar ‘bisikan halus’ selain terlupa makan ubat sakit mental sebelum dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana membunuh bapa sendiri tanpa niat, tahun lalu.

Keputusan dibuat selepas Md Rusdi Taha, 41, dari Kampung Losong Dato Amar, di sini, mengaku salah melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap bapanya, Taha Mohamad, 74.

Dia yang dibekalkan ubat sakit mental sejak 2013 itu mengaku melakukan perbuatan tersebut di Kampung Losong Dato Amar, di sini, di antara jam 12 tengah malam sehingga 6.30 pagi, pada 3 Mei 2015.

Dengan itu, Md Rusdi mengaku salah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman di hadapan Hakim Rofiah Mohamad manakala dia diwakili peguam bela Muhamad Ramlan Taib.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, lebih kurang jam 12 tengah malam, semasa berada di rumah bersama mangsa, ibu dan adik perempuannya, secara tiba-tiba Md Rusdi mengamuk dengan keadaan matanya merah dan terjegil seperti dirasuk.

Bimbang perkara tidak diingini berlaku, ibunya mengajak mangsa dan anak perempuannya lari dari rumah dan bermalam di rumah anak sulung mereka yang tinggal berhampiran sementara menunggu keadaan kembali pulih, namun mangsa enggan.

Lebih kurang jam 6.30 pagi hari sama, ibu Md Rusdi pulang semula ke rumah selepas selesai solat Subuh di masjid berhampiran sebelum terkejut mendapati mangsa sedang terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah di kepala dan ada sebuah televisyen berhampiran mangsa.

Ketika itu juga, Md Rusdi masih berada di dalam rumah dan duduk di atas sofa sambil memerhatikan ayahnya itu yang sudah tidak sedarkan diri.

Sebelum ini, akhbar ada melaporkan seorang anak sanggup menghentak kepala bapanya sendiri dengan televisyen bersaiz 81.3 sentimeter (32inci) di ruang tamu rumah di Kampung Losong Dato Amar, di sini.

Akibat kejadian itu, warga emas yang menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, kerana cedera parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia selepas empat hari bertarung nyawa.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib