Sunday, 24 July 2016

Epik Megat Panji Alam Akan Ke Kaca TV?

ALANGKAH hebat kalau epik Megat Panji Alam muncul di kaca TV. Bangsa kita akan kembali meraikan sejarah melalui medium popular yang selama ini penuhi drama bercandu hedos.

Baiklah. Berbalik pada kisah Megat Panji Alam. Sejarah menyebut jasadnya ditemui terbaring dalam keadaan luka berdarah di lantai Balai Rong Seri, Istana Inderapura!

Sejarah juga menyebut, Megat Panji Alam mati ditikam Hang Jebat.
Kalau kita ditektif sejarah – sebelum memulakan Crime Scene Investigation, kita mesti mengesahkan dahulu  di mana lokasi kejadian.

Megat Panji Alam Bangkit Menuntut Bela Kebenaran!
GAMBAR HIASAN

Inderapura tempat Megat Panji Alam mati ditikam Kasturi menimbulkan persoalan.
Apa lagi tempat itu disebut sebagai negeri persinggahan bala tentera batalion Terengganu yang dalam perjalanan menyerang Melaka.
Inderapura? Apakah negeri itu?
Dalam teks disebut Inderapura. Kalau jarak antara Terengganu ke Melaka melalui jalan darat 500 tahun dahulu Inderapura pastilah negeri di sekitar Pahang atau Johor. Malah, Pura dalam bahasa Sanskrit bermaksud Kota. Dalam konteks istilah lampau, ia merujuk pada sebuah kerajaan kesultanan yang besar.
Pastilah Inderapura sebuah negeri bersultan, kerana kematian Megat Panji Alam dan rakannya Megat Kembar Ali terjadi di Balai Rong Seri, komponen utama dalam binaan Istana Kesultanan Melayu.
Aduh! Rupanya Inderapura ialah Pahang. Ketika terjadinya tragedi Megat Panji Alam – Inderapura diperintah Sultan Ghafur Syah.
Lokasi kesultanan Inderapura terletak di Pekan, Pahang!
Pahang dalam teks sejarah China, dikenali dengan nama Pang Hang, Pang Kang atau Pong Fong. Orang Arab merujuk nama Pahang sebagai Fan Ham, Paam atau Pahagh.
Kini selesai sudah isu Inderapura.
Di Inderapura – setelah berarak dengan batalion 4 ribu pahlawan Terengganu, Megat Panji Alam diraikan Sultan Ghafur Syah.
Di Melaka, Hang Dolah bergegas pulang dari Pahang lalu menyampaikan khabar kepada Bendahara Paduka Raja. Khabar angkatan perang Terengganu dalam perjalanan menyerang Melaka menyebabkan Sultan Mahmud murka bukan kepalang.
Justeru, diarahkan Hang Tuah, Hang Jebat dan Hang Kasturi turun ke Inderapura menyelesaikan pertikaian.
Inilah hebatnya Tuah. Mengadap panglima perang dengan 4 ribu pahlawan – tanpa rasa gentar. Malah, berdepan Megat Panji Alam dengan beribu pengikut itu, dengan bertemankan dua sahabat.
Dengan bantuan pemerintahan Inderapura, Sultan Ghafur Syah, satu pertemuan sulit diatur antara Tuah, Jebat dan Kasturi untuk bersemuka dengan Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali.
Dalam pertemuan itu – perang mulut menyebabkan Jebat dan Kasturi hilang sabar. Seakan-akan sudah dirancang pertemuan tertutup yang sepatutnya menyelesaikan isu diplomatik Terengganu-Melaka, bertukar jadi medan pembunuhan.
Kata sejarah, dek tajamnya kata-kata kesat Megat Panji Alam, Jebat dan Kasturi hilang sabar, lalu bingkas bangun dan menyerbu Megat Panji Alam dan Megat Kembar Ali.
Lalu terjadilah babak kemuncak pada epik bersejarah ini.
Di Balai Rong Seri Istana Inderapura, tumbang dan tewaslah pendekar duo Terengganu.

BACA: Megat Panji Alam Bangkit Menuntut Bela Kebenaran!

Malah, lebih menyedihkan Gajah Diraja Terengganu, Syah Kertas yang ditunggang Megat Panji Alam sebagai Kendera Perang turut dirampas delegasi Melaka. Hang Tuah dengan bangga membawa pulang gajah laksamana itu dan sebagai persembahan kepada Sultan Mahmud.
Begitulah berakhirnya riwayat Megat Panji Alam!
Namun, bagi pecinta epik dan sejarah – mana satu versi pun yang jadi pilihan – ia perlu diangkat secara berseni dan dramatik ke TV.
Megat Panji Alam perlu dihidupkan. Tokoh ini dan sejarah zamannya berhak untuk bersuara!

Sungguh bergendang riwayat perang,
Di bumi Pahang di Istana Pekan,
Kekasih hilang dilarikan orang,
Tubuhnya tumbang berliang tikaman.

Cantiknya Teja Ratna Benggala,
Sireh pukau Laksamana Tun Tuah,
Megat merana beragankan asmara,
Lengkaplah kisah cinta yang musnah.

Nantikan naratif sejarah dalam drama Megat Panji Alam di kaca TV! – MYNEWSHUB.CC



0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib