Kepadatan pengunjung setiap masa memaksa sebahagian projek-projek pembinaan di sekitar kawasan Tanah Suci itu dilaksanakan tanpa henti tidak kira siang atau malam bagi disiapkan dengan segera.

Malah, risiko keselamatan jemaah serta pekerja binaan menjadi fokus utama jika kerja-kerja pembinaan dilakukan di kawasan sesak dengan tumpuan orang ramai.

Menariknya dan tidak ramai yang tahu bahawa sebahagian kerja-kerja mencabar itu digalas oleh sekumpulan anak muda dari Malaysia.

Mereka terdiri daripada Hairul Nizam Baharuddin, Armiazizul Ariffin, Zulkefli Sulaiman, Mohamed Norhisam Hashim, Muliana Ahmad, Mohd. Anuar Abu, Hashim Ripin, Mohd. Najib Ahmad, Ramli Sehad, Muhamad Armi Azizuddin, Mohd. Zaidi Abu Shah, Sabri Jaka, Mohd. Hamka Alipyan dan Airhan Mohd. Rasullan.

Sejak enam tahun lalu, 14 orang jurutera dan pekerja mahir dari tanah air membawa nama Malaysia apabila mereka merupakan antara kumpulan yang terlibat dalam kerja-kerja pembinaan struktur ikonik di Mekah.

Biarpun ada yang memandang mereka sebagai buruh biasa, bekerja di Tanah Suci dengan pemandangan Kaabah menjadi latar belakang setiap hari pasti perasaannya tidak sama.

Pekerjaan mereka boleh disifatkan sebagai satu limpahan rezeki dan pengalaman yang tidak dapat dinilai atau ditukar ganti dengan wang ringgit.

Antara binaan dan struktur yang mendapat sentuhan 14 anak muda itu ialah, Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait, pemasangan dan membuka semula struktur binaan Mataf sementara (laluan bertingkat) di kawasan tawaf, serta pembesaran Shamia di bangunan Masjidilharam.

Penglibatan mereka yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam pelbagai bidang kejuruteraan dan pemanjat profesional (professional climber) di Tanah Suci itu bukan calang-calang, apabila mereka merupakan kumpulan anak muda yang pertama diberi kepercayaan membina sebuah bangunan ikonik iaitu Menara Jam Gergasi Abraj Al-Bait yang merupakan projek mega pertama yang dibina di Mekah.

Diketuai Hairul Nizam, 39, selaku Jurutera dan Pengurus Tapak Projek Syarikat Premier Composite Technologies (PCT) LLC Dubai dan beberapa jurutera serta pekerja mahir dalam bidang itu, mereka merupakan kakitangan di bawah seliaan PCT iaitu sebuah syarikat subkontraktor bagi syarikat yang memonopoli projek-projek di Arab Saudi, iaitu Saudi Binladin Group.

Menurut Hairul Nizam, diberi kepercayaan untuk membina dan memasang bahan komposit pada Menara Jam Gergasi Abraj Al Bait merupakan satu pengalaman yang amat bermakna buat diri dan pasukannya.

Biarpun perlu menjalankan tugas pada ketinggian 601 meter, dia berbangga menerima tanggungjawab berkenaan kerana yakin peluang bekerja berlatarbelakangkan pemandangan indah Tanah Suci Mekah tidak mungkin diperoleh semua orang, malah tuntutan kerjaya itu juga membolehkannya menunaikan haji dan umrah setiap tahun.

“Pada awalnya pasukan kami diberi peluang dalam projek menara jam dan pada kami ia satu pencapaian yang cukup baik, namun setelah mereka melihat hasil projek itu, kami kemudian ditawarkan beberapa projek lagi antaranya pemasangan dan pembukaan Mataf sementara yang merupakan lokasi utama tumpuan jemaah setiap hari.

“Biarpun peluang yang diberikan agar mencabar, saya dan pasukan menerimanya kerana kami tahu tidak semua berpeluang melakukan kerja itu. Melakukan tugas di depan Kaabah merupakan saat-saat yang sukar digambarkan kerana kita berada di tempat yang paling suci. Kita bukan sahaja bekerja, malah kita juga beribadat pada masa yang sama.

“Jika anda tanya apakah perasaan membina sesuatu binaan di tempat begitu, saya tidak boleh jelaskan dengan kata namun, tetapi apa yang pasti adalah rasa syukur yang amat tinggi kerana diberi peluang berada di Mekah,” katanya yang mendapat peluang berada di situ selepas permohonannya untuk bekerja dengan PCT diterima.



Menurut Hairul Nizam, setiap pekerjaan mempunyai cabaran masing-masing, namun masalah utama bekerja di negara orang adalah kesukaran berkomunikasi memandangkan pekerja di bawah seliaannya berasal dari pelbagai negara.

Mempunyai kemahiran bertutur dalam bahasa Arab pasar (ammi) sedikit sebanyak dapat membantu Hairul Nizam berkomunikasi dengan pekerja-pekerja asing lain dalam menyampaikan arahan dan tugasan.

“Masalah komunikasi merupakan cabaran utama yang saya perlu lalui tenaga kerja dari pelbagai negara seperti India, Pakistan, Mesir, Syria, Iran dan beberapa negara Eropah yang semuanya beragama Islam, namun 
tidak fasih berbahasa Arab atau Inggeris.

“Jika melibatkan urusan pentadbiran dan di tapak projek biasanya saya bertutur dalam bahasa Inggeris dan jika melibatkan perkara dalam bahasa Arab, saya akan minta bantuan pembantu jurutera saya untuk alih bahasa,” jelasnya.

Selain itu, Hairul Nizam mengakui cabaran bekerja di lokasi tumpuan umat Islam itu amat mencabar terutama dalam soal keselamatan memandangkan kejayaan projek yang dilaksanakan bergantung kepada banyak faktor.

Tekanan untuk memastikan projek yang dijalankan lancar dan tidak mengundang sebarang risiko bahaya kepada jemaah amat dititikberatkan, malah keperluan untuk bekerja 24 jam menuntut pekerjanya sentiasa dalam stamina yang cukup baik.

Ujarnya, memandangkan hanya berbaki beberapa hari sebelum umat Islam mula menjalankan ibadat puasa, akui Hairul Nizam, cabarannya lebih besar untuk menjalankan kerja-kerja pembinaan.
“Dua minggu lalu, kami baharu sahaja selesai membuka Mataf sementara yang dipasang tiga tahun lalu dan ketika ini umat Islam sudah mula memenuhi Mekah kerana kebanyakan mereka mahu berpuasa di sini.
“Ini adalah cabaran buat kami untuk menyelesaikan pembinaan yang kami sedang lakukan ketika ini, iaitu projek pemasangan kubah bagi siling bergerak di kawasan tambahan Shamia di Masjidilharam.

“Pertambahan jemaah akan menyebabkan keadaan di sekitar tapak projek sedikit terganggu, jadi penyelarasan kerja harus lebih teliti dan berhati-hati kerana sedikit kecuaian akan mengakibatkan impak yang besar dan boleh mencederakan ramai jemaah.

“Malah, bekerja ketika berpuasa di sini juga adalah satu cabaran kerana perlu bekerja pada waktu malam bagi memastikan tahap kesihatan pekerja tidak terjejas,” jelasnya.
Digelar “Spiderman Malaysia”

Selain Hairul Nizam, individu lain yang tidak kurang pentingnya dalam menjayakan projek-projek yang dilaksanakan adalah Armiazizul Ariffin, 38.

Dia merupakan salah seorang pemanjat yang dipertanggungjawabkan untuk menyempurnakan kerja-kerja yang perlu dilakukan di tempat tinggi.

Mempunyai pengalaman 16 tahun sebagai pemanjat, Armiazizul, yang pernah terlibat dalam projek memasang kubah Masjid Wilayah di Jalan Duta, Kuala Lumpur dan Masjid Putrajaya, mengakui tawaran bekerja di Mekah tidak dapat ditolak atas dua faktor, iaitu berpeluang bekerja di Tanah Suci dan pendapatan yang lumayan.

Menurut Armiazizul, kerjaya sebagai pemanjat perlu mengambil risiko keselamatan diri sendiri apabila segala kerja yang dilakukan hanya bergantung kepada seutas tali keselamatan (safety rope).

Tanggungjawabnya adalah memasang komponen-komponen pada struktur binaan tinggi, di samping membuka semula struktur binaan di dataran Kaabah yang tidak pernah sunyi daripada ribuan jemaah yang melakukan ibadat tawaf.

Tambahnya, tidak semua pemanjat mempunyai kebenaran untuk melakukan kerja memanjat di bangunan tinggi kecuali mereka yang memiliki lesen khas, iaitu Industrial Rope Access Trade Association (IRATA) yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Bawah saya terdapat 120 pekerja dari pelbagai negara dan saya harus memerhatikan secara terperinci kerana kerja pemasangan bukan sahaja dilakukan pada waktu siang yang padat dengan jemaah tetapi juga pada waktu malam.

“Kita perlu menyiapkan projek mengikut waktu ditetapkan dan ketepatan penjelasan amat penting kerana saya mengetuai kerja pada waktu siang. Pada waktu malam pula saya perlu menyerahkan tanggungjawab pada individu yang berkaitan agar pelaksanaan projek berjalan mengikut pelan agar semuanya dilaksanakan dalam keadaan selamat,” jelasnya yang turut digelar “Spiderman Malaysia”.

Ditanya apa pengalaman yang tidak dapat dilupakan sepanjang terlibat dalam projek di Mekah, Armiazizul memberitahu, paling mendebarkan apabila dia diangkat oleh kren bersama struktur binaan clock hand seberat 9,000 kilogram (9 tan) pada ketinggian 480 meter sewaktu pemasangan binaan berkenaan.

Jelasnya, ketika itu dia berdepan dengan angin kuat dan ribut yang menyebabkan tiang kren terhuyung-hayang sewaktu pemasangan struktur hilal bersama komponen seberat 17,000 kilogram (17 tan).

“Ketika itu, saya yang bergantung pada tali keselamatan terhuyung-hayang, malah komponen tidak dapat dinaikkan dan diturunkan kerana keadaan ribut pasir. Saya sangat cemas dan hanya mampu berserah pada Allah untuk selamatkan saya. Itu merupakan pengalaman yang paling menakutkan.
“Kalau manis pula, paling seronok apabila majikan saya membawa kami menjamu selera di Zam Zam Tower malah memberikan kami 1,000 riyal sebagai bonus kerana kejayaan kami memasang hilal di menara jam itu. Jika saya tidak bekerja di sini, mungkin saya tidak berpeluang merasainya,” jelas beliau.

Mengakui sangat teruja dapat menjadi antara individu yang menyiapkan struktur di Mekah, Armiazizul, yang berasal dari Melaka, sukar menggambarkan perasaannya kali pertama dapat melihat Kaabah dari ketinggian yang tidak dapat dilihat oleh orang lain.

“Saya memang terlibat sepenuhnya dengan pemasangan menara jam itu yang memerlukan saya memanjat di bahagian tertinggi menara dan sangat menakjubkan dapat melihat Kaabah dari atas.

“Ada rasa yang sangat berlainan dan semangat untuk terus beribadat memang tinggi apabila mengimbas kembali segala kisah-kisah nabi yang pernah saya tahu.

“Terfikir juga bagaimana nabi berjuang menyebarkan Islam pada zamannya. Masya-Allah, perasaan yang tak dapat digambarkan. Sesiapa sahaja yang datang pertama kali ke sini melihat Kaabah tanpa menitiskan air mata, saya rasa memang agak mustahil.

“Malah, paling seronok apabila usaha kita dihargai kerana setiap kali ada jemaah Malaysia yang tahu projek ini merupakan kerja dibuat oleh anak tempatan, mereka melahirkan rasa kegembiraan dan bangga dengan keupayaan rakyat negara ini,” ujarnya yang telah empat kali menunaikan haji sepanjang enam tahun di sana.