Wednesday, 15 June 2016

Dana Raya Mula Diagih Esok

KUALA TERENGGANU - Pembahagian baucer Bantuan Perayaan Aidilfitri 2016 atau dana raya akan mula diagihkan kepada 217,001 pemohon yang layak esok.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata,  pemohon yang layak pada tahun ini meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu 212,406 orang, dengan peruntukan sebanyak RM80.3 juta pada tahun ini, berbanding tahun lepas iaitu RM78.3 juta.

Menurutnya, pengagihan dan penebusan baucer boleh dibuat bermula esok di Bank Simpanan Nasional (BSN) dan Agrobank manakala tempoh sah laku baucer akan berakhir pada 16 Oktober.

"Sebanyak 228,608 permohonan yang diterima tetapi hanya 217,001 permohonan telah lulus dan memenuhi syarat-syarat kelayakan. Manakala sebanyak 11,607 permohonan telah ditolak kerana tidak memenuhi syarat-syarat kelayakan.

"Bagaimanapun, permohonan rayuan bagi permohonan yang ditolak akan dibuka bermula 20 hingga 30 Jun. Keputusan rayuan dan pembahagian baucer akan dibuat selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Program Bantuan Perayaan telah bermula sejak tahun 2005 dan merupakan acara tahunan, iaitu pembahagian bantuan kepada empat kategori penerima iaitu golongan berpendapatan rendah, golongan ibu tunggal atau duda, golongan kurang upaya dan warga emas.

Jumlah bantuan yang telah diberikan sejak tahun 2005 hingga 2015 ialah RM581.2 juta, dengan 1.88 juta penerima.

Jelas Ahmad Razif, jumlah bantuan bagi kategori penerima berpendapatan rendah iaitu penerima berkeluarga dan ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak adalah sebanyak RM400.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib