Wednesday, 15 June 2016

Bantuan RM500 untuk penjawat awam negeri Terengganu

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan khas kewangan kepada 7,600 kakitangan perkhidmatan awam negeri, badan berkanun negeri dan pihak berkuasa tempatan negeri sebagai persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata, bantuan khas sebanyak RM500 itu sebagai mengikuti langkah kerajaan persekutuan yang sebelum ini telah memutuskan bantuan yang sama kepada pegawai perkhidmatan awam persekutuan.

Menurutnya, bantuan itu akan diberikan sebelum hari raya dan melibatkan perbelanjaan keseluruhan sebanyak RM3.765 juta.

"Bayaran khas kewangan ini diberi kepada semua pegawai yang masih berkhidmat pada 8 Jun, tertakluk kepada syarat.

"Ia juga akan melibatkan pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di pejabat perhubungan dan komunikasi secara sepenuh masa, pegawai khas kepada pengerusi jawatankuasa tertinggi negeri, pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di unit penyelidikan dan pejabat menteri besar secara sepenuh masa," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Osman Muda dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan, Perladangan dan Komoditi negeri, Nawi Mohamad.

Jelas beliau, pelaksanaan itu juga melibatkan pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di bawah Agensi Transformasi Rakyat Terengganu (Atra) termasuk kakitangan ad-hoc, pegawai yang bertugas di pusat khidmat masyarakat secara ad-hoc (pegawai khas dan pembantu tadbir Adun) serta pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) negeri Terengganu.

Selain itu, ia juga melibatkan pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di unit pembangunan kebudayaan, belia, sukan dan badan bukan kerajaan negeri, pegawai dan kakitangan pentadbiran yang bertugas di briged seni, akademi seni, Institut al-Quran dan lain-lain agensi di bawah kerajaan negeri.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib