Thursday, 26 May 2016

Petronas serah loji rawatan air kepada Terengganu

Majlis Penyerahan Loji Rawatan Air Petronas Kepada Kerajaan Negeri Terengganu
KUALA TERENGGANU - Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini secara rasmi menyerahkan hak milik loji rawatan air bernilai RM464 juta, yang membekalkan air terawat ke Kompleks Petrokimia di Kertih (KIPC), kepada kerajaan negeri Terengganu.
Syarikat Bekalan Air KIPC Sdn Bhd (BAKIPC), yang mengendalikan loji itu sebelum ini, bersetuju menyerahkan hak milik enam tahun lebih awal daripada perjanjian yang sepatutnya.
Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman berkata di bawah proses pengambilalihan BAKIPC, kerajaan negeri bersetuju untuk memberikan pemilikan aset kepada Menteri Besar (Incorporated) Terengganu (MBI) manakala Veolia Water (Dungun) Sdn Bhd adalah pengendali loji air berkenaan.
"BAKIPC memiliki sebuah loji rawatan air berkapasiti 230 juta liter air bersih sehari (mld) di Dungun yang mula beroperasi pada Ogos 2002 bagi memastikan tiada sebarang gangguan bekalan air ke Kerteh Integrated Petrochemical Complex (KIPC).
"Sebelum ini, kerajaan negeri menandatangani perjanjian konsesi air selama 20 tahun dengan BAKIPC sehingga 2022 dengan pilihan tambahan kontrak selama lima tahun lagi," katanya ketika berucap pada majlis penyerahan loji itu di sini.
Turut hadir Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin.
Ahmad Razif berkata pengambilalihan loji rawatan air itu akan menjimatkan kos, masa dan kewangan kerana pembinaan sebuah loji baharu memerlukan sekurang-kurangnya dua tahun untuk disiapkan malah, ia memerlukan perbelanjaan tinggi.
"Diharap pengambilalihan BAKIPC ini akan terus menjana hasil kerana ia sudah mempunyai pelanggan sedia ada di samping membantu kadar pertumbuhan industri minyak dan gas di Terengganu," katanya.
Sementara itu, Wan Zulkiflee berkata Petronas yakin bahawa penyerahan awal loji itu mampu membantu usaha untuk memenuhi permintaan air bersih yang semakin meningkat dari sektor kediaman dan industri, terutamanya daerah Kemaman.
"Kami percaya bahawa kerajaan negeri melalui bekalan tenaga kerja mahir sedia ada, berupaya untuk menguruskan logi rawatan air ini dengan baik," katanya dalam ucapannya.
Majlis menandatangani perjanjian jualan saham itu dilakukan oleh Naib Presiden Kanan Petronas Adif Zulkifli manakala MBI diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Wan Zalizan Wan Jusoh.

Petronas membina loji rawatan air itu di Dungun pada 1999 dengan kos RM464 juta dan ia mula beroperasi pada 2002 bagi membekalkan air terawat untuk keperluan industri minyak dan gas serta menjamin kelancaran operasi loji-loji Petronas di Kerteh.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib