Tuesday, 17 May 2016

Nenek terkejut cucu dibunuh di Hatyai (4 Gambar)

MOHD Nizam maut ditembak kira-kira 3.30 pagi tadi (waktu tempatan) ketika menunggang motosikal menuju ke hotel penginapannya di pekan Hatyai, menurut Polis Thailand. 
BALIK PULAU: Nenek Mohd Nizam Ahmad Basrah, 28, rakyat Malaysia yang maut ditembak Hatyai, Thailand, awal pagi tadi, terkejut selepas mengetahui cucunya menjadi mangsa bunuh dalam kejadian itu. 

Saadiah Abu, 80, berkata dia kali terakhir menemui Mohd Nizam pada 5 Mei lalu, ketika cucunya itu pulang bercuti kerana bekerja di Singapura. 

Katanya, Mohd Nizam yang dipelihara beliau sejak kecil selepas ibu bapanya bercerai tidak menunjukkan sebarang tanda pelik sebelum itu. 

"Dia adalah anak tunggal dan saya menjaganya sejak kecil sehingga menganggapnya seperti anak sendiri. 

Berita kematiannya sangat mengejutkan saya, namun kami reda dengan apa yang berlaku," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya di Kuala Sungai Pinang sebentar tadi. 




Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Mohd Nizam, 28, yang sedang menunggang motosikal ditembak penyerang tidak dikenali ketika menuju ke hotel penginapannya. 

Mayat mangsa ditemui orang ramai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di dada dan punggungnya. 

Saadiah berkata, cucunya itu keluar bekerja di Singapura sejak Januari lalu dan pulang kali pertama menemui keluarganya awal bulan lalu. 

"Saya harap kejadian ini ada hikmahnya dan berharap pihak berkuasa dapat membantu membawa pulang jenazahnya bagi dikebumikan di sini.

 "Kejadian ini memang di luar dugaan kami kerana selama ini dia adalah cucu yang mendengar nasihat saya," katanya. di : -bharian 

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib