Sunday, 22 May 2016

Kalang Tie bantu Terengganu tewaskan T-Team di Gong Badak

Joseph Kalang Tie mempamerkan ketenangan untuk menyempurnakan sepakan penalti di lewat permainan yang membawa kemenangan kepada Terengganu dalam ‘derby’ penyu kedua musim ini menentang T-Team FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin semalam. -TFA
Jaringan penalti pemain gantian, Joseph Kalang Tie, pada penghujung perlawanan memastikan Terengganu meraih tiga mata penuh dengan kemenangan 2-1 mengatasi T-Team di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
Terengganu tidak menunggu lama apabila mendahului seawal minit ke-5 menerusi Norshahrul Idlan Talaha yang menanduk masuk hantaran Ismail Faruqi Ashari dari sebelah kanan.
Pada minit ke-14 Terengganu hampir menggandakan kedudukan, namun percubaan ketua pasukan, Ahmad Nordin Alias, sedikit tersasar di sebelah kiri selepas menerima hantaran  Gustavo Lopez.
Peluang terbaik T-Team untuk menyamakan kedudukan hadir pada minit ke-28 tetapi rembatan Norhakim Hassan diselamatkan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee, dan tindakan susulan Makan Konate juga digagalkan bekas penjaga gol kebangsaan itu.
Empat minit kemudian, peluang yang sama menjelma buat Terengganu apabila hantaran cantik Gustavo berjaya membelah pertahanan T-Team, malangnya dua percubaan Norshahrul dan Kalang Tie ditepis penjaga gol T-Team, Wan Muhd Azraie, sebelum percubaan Ismail Faruqi tinggi melepasi palang.
Separuh masa kedua menyaksikan kebangkitan T-Team yang melancarkan asakan bertali arus menerusi Patrick Cruz, Norhakim dan Konate.
Pemain TTeam Makan Konate cuba memperdayakan pemain Terengganu Vicent Bikana dalam aksi Liga Super malam tadi. Keputusan perlawanan Terengganu (2) – (1) TTeam FC. -gawang
Kemasukan pemain tengah, Mohd Asrol Ibrahim, menjadi penyelamat T-Team apabila dia menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-64 menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti hasil hantaran Patrick Cruz.
T-Team kemudian membuat asakan mencari gol kedua dan hampir di depan pada minit ke-70,  namun voli Makan Konate yang mendapat hantaran Mohd Safawi Rased sekadar mencecah tepi jaring.
Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir seri, pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Terengganu selepas Norshahrul dikasari Ahmad Takiyuddin pada minit ke-87 yang berjaya disempurnakan dengan tenang oleh Kalang Tie. -stadiumastro

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib