Tuesday, 29 September 2015

Zubir Azmi dan Ismail Faruqi kembali disenarai dalam Harimau Malaya

Zubir Azmi dan Ismail Faruqi dipanggil untuk menyarung jersi Malaysia.
KUALA LUMPUR: Pemain pertahanan kiri Terengganu, Muhammad Zubir Mohd Azmi yang sebelum ini diketepikan akibat kecederaan, adalah antara 23 pemain dipanggil oleh pengendali sementara skuad Harimau Malaya Datuk Ong Kim Swee untuk sesi latihan pusat pasukan kebangsaan. 

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini, memaklumkan selain Muhammad Zubir, Kim Swee kembali menyenaraikan tujuh pemain yang diketepikan sebelum ini untuk sesi latihan berkenaan bagi menghadapi Laos dalam aksi pemanas badan di Stadium Thai Army, Bangkok, Thailand pada 8 Okt ini. 

Mereka ialah Izham Tarmizi Roslan, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safee Sali (kesemuanya pemain Johor Darul Ta'zim - JDT); Shahrul Saad dan Christie Jayaseelan (Felda United); Mohd Hafiz Kamal (Pahang) dan pemain tengah Terengganu, Ismail Faruqi Ashari. 

Kim Swee turut menyenaraikan 10 pemain dalam skuad simpanan bagi menggantikan pemain-pemain dipanggil yang disahkan oleh doktor pasukan mengalami kecederaan. 

Pemain berkenaan ialah Ahmad Fakri Saarani (Kelantan); Mohd Nurridzuan Abu Hassan Saari (Perak); Joseph Kalang Tie dan Ronny Harun (Sarawak); Farhan Abu Bakar dan Syahrul Azwari Ibrahim (Harimau Muda B); Fazly Mazlan, S. Chanthuru, Gary Steven Robbat (JDT) dan pemain Selangor, Mohd Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham. FAM memaklumkan kesemua 23 pemain berkenaan perlu melapor diri kepada Kim Swee pada Ahad ini (4 Okt) kecuali pemain pasukan Perak dan JDT pada Isnin (5 Okt). 

Perak akan melayan kunjungan JDT pada aksi Kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Perak, Ipoh pada 3 Okt. 

Mengulas mengenai pemilihan pemain, Kim Swee berkata beliau terpaksa membuat pertukaran pemain selepas dua pemain pertahanan utama iaitu kapten Pahang, Mohd Razman Roslan dan pemain JDT, Junior Eldstal mengalami kecederaan. 

Beliau mengakui bukan mudah menamakan 23 pemain, namun percaya pemilihan mereka terutamanya beberapa pemain baharu akan menguatkan pasukan di posisi tertentu bagi menghadapi Timor Leste pada aksi kelima Kumpulan A Pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Perbandaran Dili pada 13 Okt ini. 

"Keputusan perlawanan berdepan Laos tetap juga perlu diambil serius kerana ia perlawanan persahabatan A yang melibatkan ranking. 

Tapi apa lebih penting ialah saya mahu melihat keserasian serta persefahaman antara pemain mengenai taktikal yang akan cuba diterapkan," kata Kim Swee seperti dipetik dalam laman sesawang FAM; www.fam.org.my. 

Senarai 23 pelatih: Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid, Azammuddin Mohd Akil, Matthew Davies, Mohd Hafiz Kamal (kesemuanya pemain Pahang); Izham Tarmizi Roslan, S. Kunalan, Safiq Rahim, Mohd Amri Yahyah, Mohd Fadhli Shas, Aidil Zafuan Abdul Radzak, Safee Sali (JDT); Khairul Fahmi Che Mat, Amiridzwan Taj Tajudin, Wan Zack Haikal Wan Nor (Kelantan); Muhammad Zubir Mohd Azmi, Ismail Faruqi Ashari (Terengganu). 

Shahrul Saad, Christie Jayaseelan (Felda United); Nazirul Naim Che Hashim, Adam Nor Azlin (Harimau Muda B); Ahmad Hazwan Bakri (Selangor); Mohamad Nasir Basharuddin (Perak), Baddrol Bakhtiar (Kedah). - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib