Tuesday, 29 September 2015

Tiga kedai hangus terbakar di depan SMK Panji Alam

Beginilah keadaan kedai disewa Noharisah yang hangus sama sekali dalam kebakaran, awal pagi semalam.

KUALA TERENGGANU - Tiga peniaga berputih mata apabila premis perniagaan disewa mereka hangus dalam kebakaran melibatkan tiga daripada deretan sembilan pintu rumah kedai di hadapan SMK Panji Alam, Jalan Panji Alam, di sini, awal pagi semalam.

Kebakaran yang berlaku lebih kurang jam 3 pagi itu memusnahkan keseluruhan kedai menjahit pakaian, kedai menjual santan serta kedai menjual tudung dan pakaian Muslimah.

Menurut penyewa kedai menjahit pakaian, Noharisah Ismail, 50, semasa kejadian, dia berada di rumahnya di Kampung Gong Tok Nasek dan hanya mengetahui insiden tersebut selepas dimaklumkan anaknya, Ahmad Zulfitri Ahmad Zainal, 19.

Bagaimanapun katanya, anak keempatnya itu tidak pasti sama ada kedai miliknya turut terlibat kerana dia hanya nampak api sedang marak di deretan kedai dan orang awam sedang bertungkus-lumus mengawal kebakaran sementara menunggu ketibaan bomba.

“Kebetulan ketika itu anak saya dalam perjalanan pulang ke rumah, sebelum ternampak orang awam sedang memadamkan api yang sedang marak di deretan kedai kami sewa, lalu bergegas pulang memberitahu saya.

“Terkejut dengan berita itu, saya terus ke kedai dan sepanjang perjalanan, saya tidak putus berdoa semoga ALLAH SWT selamatkan kedai kami,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, semalam.

Dalam nada sebak, ibu kepada enam anak itu berkata, dia hampir pengsan selepas mengetahui kedai jahit yang disewanya sejak 11 tahun lalu, turut terlibat dan dimaklumkan tidak dapat diselamatkan.

“Ketika terima berita itu, hanya ALLAH tahu perasaan saya, seluruh badan lemah. Saya tidak kisah walaupun terpaksa menanggung kerugian kerana semua alatan jahitan serta lima mesin musnah.

“Tetapi apa yang membuatkan saya sedih dan terkilan, semua baju dan kain pasang pelanggan (lebih kurang 50 pasang) tidak dapat diselamatkan,” katanya yang memaklumkan kedai tersebut disewa dengan bayaran RM500 sebulan.

Noharisah memberitahu, akibat kejadian itu, dia terpaksa menanggung kerugian lebih kurang RM50,000.

“Saya tak tahu barang apa yang selamat dan tidak kerana sampai sekarang saya masih tiada kekuatan untuk masuk ke dalam kedai yang hanya tinggal rangka, tetapi saya yakin semuanya dah jadi arang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Kassim berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.56 pagi dan tiga jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Menurutnya, setiba di lokasi kejadian, api sedang marak membakar tiga rumah kedai separuh kekal itu.

“Kami berjaya kawal keadaan dan memastikan api padam sepenuhnya lebih kurang jam 4.48 pagi,” katanya.

Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. -SH

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib