Tuesday, 29 September 2015

Terima tiga menantu serentak di Kuala Berang


Wan Muhammad (tengah) bersama adik-adiknya merakamkan gambar kenangan bersama pasangan masing-masing sempena hari cukup bermakna buat mereka semua.
KUALA BERANG - Tidak terkata kegembiraan dirasai sepasang suami isteri apabila menerima tiga menantu serentak, kelmarin, sekali gus menjadikan sambutan Aidiladha pada tahun ini cukup bermakna.

Tiga anak lelaki kepada pasangan Wan Ali Wan Harun, 53, dan Rosmini Othman, 51, memilih cuti hari raya korban untuk melangsungkan majlis menyambut menantu serta majlis kesyukuran di Dewan Kilat Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang dimeriahkan oleh kira-kira 1,500 tetamu.

Pasangan mempelai yang diraikan adalah Wan Muhammad, 27, bersama permaisuri hatinya, Noraryanny Mohammad, 24; Wan Ammar Fikri, 25, bersama suri hidupnya Nadrah Ahmad Damanhuri, 25 dan Wan Irfan, 25, dengan pilihan hatinya, Julia Shireen @ Noorsyahida Azmi, 21.

Rosmini yang juga guru Sekolah Kebangsaan Padang Hiliran, Kuala Terengganu, berkata, dia dan suami bersyukur apabila ketiga-tiga anak lelakinya bersetuju melangsungkan majlis berkenaan serentak.

Menurutnya, perkongsian hidupnya bersama Wan Ali telah dikurniakan 10 cahayamata dengan tiga daripadanya lelaki dan kini keluarganya dimeriahkan lagi dengan kehadiran tiga menantu serentak.

"Ketiga-tiga anak lelaki saya telah melangsungkan perkahwinan sekitar Hari Raya Aidilfitri lalu dan sebagai ibu, pastinya saya gembira. Menyambut tiga menantu serentak merupakan sesuatu yang cukup bermakna.

"Tiga anak lelaki yang menamatkan zaman bujang adalah anak sulung, kedua dan kelima. Saya rumah tangga mereka berkekalan serta sentiasa diberkati ALLAH SWT," katanya.

Katanya, walaupun dua daripada anak lelakinya, iaitu Wan Ammar Fikri dan Wan Irfan masing-masing melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di peringkat sarjana dan di Mesir, namun dia yakin mereka mampu memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Sementara itu, Wan Muhammad yang merupakan anak sulung dan anggota polis berpangkat inspektor ternyata gembira dapat meraikan detik penuh bermakna bersama dua adiknya.

Menurutnya, persiapan untuk majlis berkenaan telah dibuat sejak lebih sebulan lalu dan dia bersyukur kerana mereka mendapat satu tarikh bersesuaian.

"Idea melangsungkan majlis sambut menantu serentak timbul secara spontan kerana tarikh perkahwinan kami dekat-dekat. Kami semua ada komitmen tetapi alhamdulillah kami dapat tarikh yang sesuai," katanya.

Majlis tersebut lebih unik dengan kehadiran pembawa pedang atau 'sword bearer' dari kalangan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyerikan majlis dengan istiadat 'jalan bawah pedang' bagi meraikan Wan Muhammad bersama isterinya. -SH

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib