Tuesday, 29 September 2015

Sayu, penjual ikan meninggal dalam sujud

Zakaria meninggal dunia dalam keadaan sujud ketika menunaikan solat Zohor, semalam. Gambar kecil: Zakaria.
KOTA BHARU - Seorang penjual ikan, ditemui mati dalam keadaan sujud rakaat kedua ketika menunaikan solat Zohor di Masjid Dewan Beta di sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira, 1.20 petang itu, mangsa dikatakan berada di saf bahagian tengah dan dipercayai tidak bangun dari sujud sebelum rebah secara tiba-tiba dan diangkat jemaah lain ke bahagian tepi masjid.

Mangsa, Zakaria Che Soh, 59, dikatakan sering ke masjid berkenaan dengan menunggang motosikal miliknya dari rumah yang terletak lebih kurang 100 meter dari masjid berkenaan.

Isteri mangsa, Wan Saudah Wan Teh, 54, berkata, arwah suaminya tidak mengalami sebarang penyakit kronik, hanya darah tinggi dan sering berulang alik mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

“Lagipun arwah suami tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian dan dia hanya balik awal dari kedai runcit yang diuruskannya dan bersiap-siap untuk pergi ke masjid menunaikan solat Zohor di masjid.

“Sebelum itu, suami ada minta hendak makan nasi di rumah dan dia berperangai seperti biasa serta tidak menunjukkan sebarang perubahan,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui mengenai kematian suaminya, selepas diberitahu jemaah masjid yang datang ke rumah memberitahu suaminya itu mati ketika sujud dalam masjid.

“Memang pada mulanya saya agak terkejut, namun saya terima kematiannya dengan reda dan mendoakan kesejahteraan suami agar ditempatkan di kalangan golongan beriman,” katanya.


Sementara itu, anak kelima mangsa, Hakim Zakaria, 27, berkata, dia tidak menyangka bapanya dikhabarkan meninggal dalam keadaan sujud.

“Ayah tidak ada penyakit kronik, namun pemergiannya amat dirasai memandangkan ayah rapat dengan anak-anak dan dia disenangi penduduk kampung, " katanya. -sh

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib