Wednesday, 30 September 2015

Pertanian mampu jadi sumber ekonomi baharu - MB

Ahmad Razif dan Nawi Mohammad di Sambutan 110 tahun Jabatan Pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Besut di Tok Dor, Jabi.

BESUT - Terengganu akan mempertingkatkan sektor pertanian dalam usaha menjadikan aktiviti itu sebagai sumber pendapatan baharu negeri berkenaan selain minyak.
   
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata lebih banyak tanah akan dibuka dan dimajukan dengan aktiviti pertanian melibatkan penduduk khususnya golongan belia termasuk lepasan ijazah yang masih menganggur, sebagai usahawan tani.
   
Beliau berkata aktiviti pertanian akan diberi keutamaan kepada belia tempatan untuk memperoleh pendapatan lumayan dengan bantuan kerajaan di peringkat awal dengan pemberian tapak pertanian secara Lesen Milik Sementara (LMS) dan dikurniakan secara kekal apabila mereka berjaya mengusahakannya.
   
Pada tahun lepas, katanya sebanyak 478 projek berkelompok diusahakan oleh 19,063 rakyat Terengganu melibatkan pelbagai tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, tanaman kontan, padi serta herba yang kesemuanya menghasilkan 75,927 metrik tan hasil pertanian bernilai RM94.4 juta.
   
"Saya berharap semua pihak termasuk belia tidak menganggap kerja pertanian kerja mengotorkan, malah darinya terbukti dapat menghasilkan pendapatan lumayan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan 110 tahun Jabatan Pertanian serta melancarkan buah melon manis Terengganu di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Besut di Tok Dor, Jabi di sini hari ini.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Razif berkata Terengganu akan memulakan Program 'Fruit Court' (medan buah-buahan) di setiap daerah bagi membantu petani memasarkan hasil pertanian mereka, di samping memberi peluang kepada pelawat dan pelancong luar menikmati buah-buahan di Terengganu.
   
Beliau berkata pada masa ini, program berkenaan telahpun dimulakan di Pasar Besar Cukai, Kemaman sebelum diperluaskan ke daerah lain tahun depan.
   
Mengenai buah melon manis Terengganu, beliau berkata usaha sedang dilakukan dengan menanam buah berkenaan yang tidak terdapat di tempat lain, serta mempunyai keistimewaan tersendiri kerana rasanya sangat manis berbanding buah melon jenis lain.
   
Pada masa ini, katanya terdapat 444 unit Struktur Pelindung Hujan (SPH) di Besut telah ditanam dengan 222,000 pokok buah melon manis Terengganu yang mampu menghasilkan sebanyak RM6 juta pendapatan setahun.
   
Beliau berkata projek itu sedang diusahakan oleh 32 peserta dengan setiap seorang meraih pendapatan purata RM3,000 sebulan. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib