Tuesday, 29 September 2015

Kakak dan adik maut serentak dalam kemalangan di Setiu

Mayat mangsa terbaring di atas jalan raya sebelum dibawa ke hospital.

SETIU - Hasrat seorang murid tahun enam SK Guntung Luar dekat bandar Permaisuri di sini, untuk menikmati aiskrim yang dibeli kakaknya tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang diboncengnya dirempuh sebuah kereta.

Lebih menyayat hati, kakaknya yang menunggang motosikal itu turut terkorban dalam kejadian di Kilometer 79 Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu dekat Kampung Guntung di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, Sulida Tadzam, 16, pelajar tingkatan empat SMK Saujana dan adiknya Mohd Firdaus, 12, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan selepas motosikal jenis Honda EX5 dinaiki mereka dirempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Honda Stream.

Ibu mangsa, Zurina Abdul Rahman, 50, berkata, hatinya sebak apabila melihat sendiri dua anaknya  maut serentak dan berada dalam keadaan terbaring di tempat kejadian kira-kira 500 meter dari rumahnya.

Menurutnya, setengah jam sebelum kejadian, dia melihat anak bongsunya itu gembira apabila mengetahui kakaknya mahu membeli aiskrim untuknya.

“Kejadian berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang setelah selesai beli aiskrim di kedai dekat pekan Guntung, kira-kira satu kilometer dari rumah.

“Saya turut hiba kerana kedua-dua arwah tak sempat jamah aiskrim yang dibeli, setelah mendapati aiskrim itu masih ada dalam raga motosikal,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bukit Grebar di sini.

Menurutnya, dia tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Zurina berkata, dia tidak menyangka Sulida yang beria-ia mahu memakai tudung putih pada pagi pertama Hari Raya Aidiladha Khamis lalu membawa petanda anaknya itu akan pergi buat selama-lamanya.

Katanya, pada pagi hari raya itu, Sulida mahu mengenakan baju hitam dan dipadankan dengan tudung berwarna agar kelihatan serasi.

“Dia memang banyak tudung, tapi tetap mahu pakai tudung putih sebab katanya sesuai dengan bajunya warna hitam.

“Sulida dan adiknya begitu ceria pada pagi hari raya,” katanya sambil memberitahu Sulida, anak kedua bongsu (anak kesembilan) daripada 10 beradik sangat rapat dengan adiknya itu, malah dengan abang dan kakaknya yang lain.

Kata Zurina, walaupun Sulida sudah biasa ke kedai berhampiran, namun pada hari kejadian perasaannya agak bimbang mengenai keselamatan anaknya disebabkan jumlah kenderaan agak banyak di jalan raya kerana musim perayaan.

“Walaupun amat sedih kehilangan dua anak sekelip mata, tapi saya reda dan anggap semua ni ujian daripada ALLAH,” katanya.

Bapa tiri mangsa, Abdullah Yusof, 47, berkata, pada hari kejadian dia berada di tempat kerjanya di sebuah bengkel kereta di Kampung Tok Dor, Jabi.

Menurutnya, belum sempat memulakan tugasannya pada hari itu, dia diberitahu tentang nahas membabitkan anaknya.

“Pada pagi hari kejadian saya dah rasa tak sedap hati dan serba salah sebelum hendak memulakan kerja.

“Rupa-rupanya ada kejadian buruk berlaku terhadap mereka yang saya anggap seperti anak sendiri.

“Saya kahwin dengan Zurina ketika Mohd Firdaus berumur 7 tahun selepas kematian bapa mereka,” katanya.

Jenazah dua beradik itu disemadikan di dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam Masjid Kampung Guntung kira-kira jam 11 malam kelmarin.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Elias Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tersebut berlaku ketika motosikal yang ditunggang mangsa dari arah Kuala Terengganu-Kota Bharu dirempuh MPV yang dipandu lelaki berusia 26 tahun dari arah sama.

“Motosikal mangsa rosak teruk di bahagian sisi sebelah kanan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

“Sejurus selepas kemalangan pemandu kereta tersebut menghilangkan diri dengan meninggalkan kenderaannya di tempat kejadian, namun tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik pada malam kejadian (kelmarin),” katanya.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -SH

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib