Tuesday, 29 September 2015

Iran Akui Jemaah Mereka Punca Tragedi Rempuhan Mina

JEDDAH – Insiden berdarah rempuhan jemaah haji di Mina pada Khamis minggu lalu rupa-rupanya akibat perbuatan sekumpulan 300 jemaah Iran tidak berdisiplin menongkah arus di laluan pergerakan bertentangan.
Perkara cukup mengejutkan itu didedahkan pegawai Iran yang disiarkan akhbar berbahasa Arab ternama, Asharq al-Awsat pada Ahad lalu dan turut dipetik oleh akhbar berbahasa Inggeris terkenal di Arab Saudi, Arab News.
Menurut harian tersebut, pihak berkuasa Iran dalam siasatan tragedi itu mengesahkan, kira-kira 300 jemaah negara berkenaan tiba-tiba muncul datang dari arah berlawanan di Jalan 203 menyebabkan rempuhan berlaku.
“Kesalahan itu mula dikesan apabila kumpulan tersebut bergerak dari Muzdalifah terus menuju ke Jamarat, untuk lontar batu di tiang jamrah; padahal mereka sepatutnya pergi dulu ke khemah penempatan jemaah Iran,” katanya.
Amalan duduk sementara di khemah adalah perkara biasa dilakukan semua negara dan jemaah perlu menunggu kebenaran untuk bergerak ditetapkan ketua kumpulan masing-masing, namun anehnya ia tidak pula berlaku.
“Mereka langsung bergerak ke Jalan 203 untuk melontar di Jamarat Al-Aqba sekali gus mengakibatkan rempuhan berlaku dengan kumpulan jemaah lain yang berada di laluan itu,” katanya yang juga disiarkan portal Sabq.org.
Sumber Iran itu menyatakan, apabila keadaan sedemikian timbul, sepatutnya jemaah negara tersebut boleh sahaja bergerak mengikut arus tetapi mereka langsung tidak bergerak menyebabkan tekanan pergerakan jemaah lain.
“Kumpulan ini sebaliknya memutuskan untuk segera berpatah balik dan ketika itulah berlaku rempuhan dengan arus bertentangan yang cukup sesak kerana lebar jalan tersebut pula hanya 20 meter,” kata pegawai Iran berkenaan.
Sumber Arab Saudi menjelaskan, ketika kejadian itu sepatutnya waktu pergerakan jemaah Turki, namun jemaah Iran dilaporkan tidak mengikut waktu ditetapkan seolah-olah enggan mengalah bagi memberi ruang jemaah lain.
Asharq al-Awsat melaporkan, ada banyak kamera litar tertutup di sekitar Jamarat yang mendedahkan lebih terperinci insiden itu dan mengesahkan jemaah haji Iran memang sengaja bergerak pada arah langsung salah.
Sumber akhbar berkenaan malah menyatakan, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi sudah mengatur pelan kecemasan dengan pelbagai agensi kerajaan jika berlaku kesesakan termasuk arah aliran pergerakan jemaah.
Malangnya kumpulan jemaah Iran enggan mematuhi peraturan tersebut apabila bergerak pada waktu dikhaskan untuk jemaah dari negara lain menyaksikan 769 jemaah haji mati syahid dalam insiden rempuhan berkenaan.
Ini termasuk 136 jemaah Iran sendiri selain 87 rakyat Maghribi dan 55 warga Mesir serta jemaah haji pelbagai negara lain termasuk seorang dari Malaysia. Jumlah mangsa yang cedera pula dilaporkan ialah 934 orang.
Ini kejadian kedua terburuk selepas insiden rempuhan sama di dalam terowong Muasseim di Mina pada 2 Julai 1990 yang meragut 1,426 nyawa; kebanyakannya jemaah dari negara-negara Asia. – Agensi/Mynewshub.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib