Tuesday, 29 September 2015

Filem Polis Evo raih kutipan RM8 juta selepas 11 hari tayangan

Pengarah, Ghaz Abu Bakar (lima dari kiri) bersama barisan pelakon Polis Evo. 
Kuala Lumpur: Filem aksi Polis Evo terbitan Astro Shaw mencatat kutipan RM8 juta selepas 11 hari ditayangkan sekali gus membuktikan filem Melayu masih mendapat sokongan penonton.

Naib Presiden dan Ketua Astro Shaw, Najwa Abu Bakar berkata, kutipan itu membabitkan 101 buah pawagam di seluruh negara dan Brunei selepas ia mula ditayangkan pada 17 September lalu.

Katanya, sambutan memberangsangkan pada minggu kedua tayangan disebabkan maklum balas positif serta promosi yang giat dijalankan.

"Kita bersyukur dengan sokongan luar biasa peminat terhadap filem ini. Kami tidak menyangka ketika industri perfileman tempatan suram, peminat masih memberi kepercayaan kepada filem ini," katanya.
Menurutnya, Polis Evo kini menduduki tempat teratas carta filem Melayu tanah air sebagai karya terlaris tahun ini.

“Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk meramal industri perfileman tempatan pada masa ini. Namun, dengan reaksi positif peminat diharap dapat menyuntik semangat baru dalam industri perfileman Malaysia," katanya.

Polis Evo yang diarahkan Ghaz Abu Bakar menampilkan bintang popular seperti Shaheizy Sam, Zizan Razak, Nora Danish, Mimi Ernida dan Wan Hanafisu.

Sebelum ini, dua filem Melayu mencatat kutipan paling tinggi ialah KL Gangster sebanyak RM11.7 juta dan Ombak Rindu sebanyak RM10.9 juta. Kedua-dua ditayangkan pada 2011.

Polis Evo yang mula ditayangkan pada 17 September lalu dilakonkan oleh Bintang Paling Popular Anugerah Bintang Popular BH 2014, Shaheizy Sam dan artis komedi terkenal, Zizan Razak.

 Filem yang ditulis oleh Joel Soh, Kyle Goonting, Anwari Ashraf dan Adib Zaini mengisahkan dua anggota polis dengan personaliti berbeza perlu berganding bahu dalam menyelesaikan kes pengedaran dadah di Terengganu. -BH


0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib