Allahyarham yang meninggal dunia kira-kira pukul 7.45 pagi, dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Tandang, Petaling Jaya dekat sini selepas zuhur.

Ibu Allahyarham, Azlinda Sukerni, 39, berkata, sebelum meninggal dunia, anaknya itu sudah seminggu tenat sehingga memerlukan bantuan pernafasan.

Walaupun sakit katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu tidak menunjukkannya, sebaliknya tidak putus-putus membaca ayat suci al-Quran yang dihafal serta banyak mengucap.

“Sehari sebelum meninggal dunia, dia memberitahu melihat ada orang bersujud dan juga beberapa kali bertanyakan pukul berapa kerana mahu balik.

“Namun, setiap kali saya tanya mahu balik ke mana dia akan diam sebelum akhirnya menjawab hendak balik ke atas. Tapi saya cukup berbangga dengannya kerana tetap kuat walaupun sehingga ke nafas terakhir,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, penderitaan Faris Danish Aqasha turut mendapat perhatian daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang sempat melawat Allahyarham di PPUM pada bulan Mei lalu.

Malah, Khalid juga sempat menunaikan hasrat Fariz Danish Aqasya yang bercita-cita untuk menjadi pegawai dengan membuat satu acara khas dengan Allahyarham dipakaikan pakaian seragam polis berpangkat Inspektor beserta tanda nama serta dibawa masuk ke dalam sebuah kereta peronda polis.

Sementara itu, Azlinda juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bersusah payah menunaikan hasrat anaknya itu untuk menjadi pegawai polis.

“Malah, semalam wakil PDRM turut hadir ke PPUM apabila mengetahui anak saya telah meninggal dunia. Tiada apa yang boleh saya balas melainkan mengucapkan terima kasih,” ujarnya.