Thursday, 6 August 2015

Terengganu benam cabaran Lions XII

Pasukan yang digelar Pahlawan Penyu bersedia beraksi melawan Lions XII malam tadi.
Terengganu meneruskan rentak kemenangan kali keempat berturut-turut di bawah kendalian Haji Ahmad Yusof selepas menewaskan Lions XII 4-2 Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi.
Nyata, Tiga jaringan di awal separuh masa kedua menjadi bukti pertemuan yang menarik di antara Terengganu dan Lions XII di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam ini.
Kedua-dua pasukan saling menyerang menghiburkan para penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan pusingan ke 17 Liga Super 2015 ini.
Walaupun pertemuan terakhir di antara kedua-dua pasukan menyaksikan kejadian yang buruk berlaku di venue ini, suasana sebaliknya terjadi malam ini dengan semangat kesukanan yang tinggi dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.
Terengganu menjaringkan gol pertama mereka melalui Helmi Remeli pada minit ke lapan apabila Izwan Mahbud gagal menampan bola dengan kemas dari satu sepakan percuma oleh Gustavo Lopez dan pemain pertahanan Sang Penyu itu berjaya menolak bola ke dalam gawang sebelum sempat Izwan menghalangnya.
Namun kesilapan penjaga gol Terengganu, Sharbinee Allawee dalam membaca gerakan bola membolehkan pemain pertahanan Lions XII, Madhu Mohana menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke 24.
Namun Issey Nakajima berjaya meletakkan Terengganu di hadapan semula dua minit kemudian apabila dia bertindak pantas untuk menewaskan Izwan dari jarak dekat hasil satu gerakan dari sebelah kiri.
Kedudukan 2-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama walaupun Lions XII berusaha keras untuk mencari gol penyamaan.
Separuh masa kedua bermula dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol namun anak-anak buah Ahmad Yusof yang berjaya menemui sentuhan gol mereka.
Nakajima sekali mempamerkan naluri penjaringnya apabila sepakannya berjaya menewaskan Izwan pada minit ke 52.
Gol pertama dari Helmi Remeli.
Namun Lions XII tidak mengambil masa yang lama untuk merapatkan kedudukan menjadi 3-2 apabila Muhammad Hafiz berjaya mencatatkan nama sebagai penjaring dalam perlawanan ini tiga minit kemudian.
Para pemain kedua-dua pasukan terus mempamerkan permainan yang menarik dan saling berbalas serangan. Namun sekali lagi Terengganu berjaya menjarakkan diri mereka apabila Norshahrul Idlan Talaha berjaya menolak bola melepasi Izwan untuk menjadikan kedudukan 4-2 pada minit ke 57.
Sharbinee yang kelihatan agak goyah di separuh masa pertama mempamerkan permainan yang lebih meyakinkan di separuh masa kedua dan berjaya menyekat beberapa percubaan yang dilakukan oleh barisan pemain Lions XII.
Zairo Anuar yang masuk sebagai pemain gantian menggantikan Ismail Faruqi hampir berjaya melebarkan jaringan Terengganu apabila percubaannya menjelang akhir perlawanan tepat menuju ke arah gol tetapi kali ini Izwan berjaya menghalang bola tersebut dari melepasinya.
Terengganu terus kental bertahan menyerap asakan Lions XII hingga ke wisel penamat ditiupkan menyaksikan Terengganu berjaya memenangi perlawanan ke empat berturut-turut dan membolehkan mereka memintas anak-anak buah Fandi Ahmad berdasarkan jaringan gol yang lebih baik. -terengganufa.my

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib