Tuesday, 4 August 2015

Menarik! Pandangan Pelajar Asing Terhadap Malaysia

Gambar Thaqib ketika berada di dalam kelas.
SEORANG pelajar dari Malaysia, Thaqib Shaker, yang juga merupakan seorang penulis yang kini sedang belajar di sebuah universiti di Turki menceritakan kisahnya bersama rakan-rakan yang berasal dari pelbagai pelosok dunia.
Dia telah memuatnaik sebuah artikel yang ditulisnya di laman Facebook menceritakan tentang pengalamannya di dalam kelas di mana mereka berdebat mengenai negara Islam dan pandangan rakan-rakannya mengenai Malaysia.
Berikut adalah apa yang ditulisnya, walaupun penulisannya agak panjang tetapi agak berbaloi untuk dibaca.
MALAYSIA DI MATA DUNIA
Kesemua Kisah-kisah dan kenyataan-kenyataan yang terdapat di dalam artikel ini adalah berdasarkan daripada perbincangan, komen dan perdebatan sepanjang pembelajaran saya di Turki selama 3 tahun (sehingga kini), juga saya antara seorang yang selalu bersolidariti dan menyertai segala aktiviti-aktiviti yang bersifat lebih kepada International bersama rakan-rakan dari pelbagai negara”.
Warga asing khususnya dari kalangan negara-negara Islam sering melihat Malaysia sebagai contoh negara Islam yang paling maju, moden dan membangun. Rakyat Malaysia dilihat sebagai bangsa yang pintar, kreatif juga berdaya saing bahkan ditambah dengan keberadaan Pemerintah negara yang sangat berkualiti (khususnya era Mahathir) menjadikan Malaysia pada satu tahap berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Di sini, saya ingin berkongsikan kisah-kisah dan pengalaman saya sebagai salah seorang pelajar Malaysia di Turki.
Setiap kali saya memperkenalkan diri dari Malaysia, pasti akan ada yang kagum khususnya dari kalangan negara-negara Arab, Afrika dan Balkan. Masih saya ingat lagi, ketika salah seorang rakan dari negara Chad (di Afrika) menghampiri saya dan mengatakan “Oh kamu dari Malaysia, negara Islam yang satu-satunya mampu mengeluarkan produk-produk keluaran sendiri. Kereta jenama Protonlah, Perodualah, Astronot Malaysia pun dah sampai solat di angkasa, bukan itu sahaja bahkan turut mempunyai senjata keluaran tersendiri! Sekalipun saya dari negara Chad, saya merasa sangat bangga dengan kejayaan Malaysia kerana untuk pengetahuan kamu setiap kejayaan negara kamu itu sebenarnya mewakili kejayaan umat Islam”.
Di Turki, saya menyambung pelajaran di dalam bidang Perhubungan Antarabangsa, dan guru-guru yang mengajar di sini semuanya hebat-hebat belaka. Mereka terdiri daripada guru-guru yang datang daripada negara -negara Eropah dan mempunyai latar belakang yang sangat hebat.
Saya masih ingat peristiwa debat yang berlaku di dalam kelas “Sejarah Peradaban Dunia”. Gurunya seorang wanita dari Itali dan konsep pembelajaran di sini adalah lebih kepada perbincangan dan perdebatan, gurunya lebih suka melihat pelajar-pelajar aktif bersuara kemukakan pendapat dan sekiranya perbincangan itu sehingga membawa kepada perdebatan, gurunya akan membiarkan pelajar-pelajar terus berdebat kerana inilah proses pembelajaran yang baik baginya.
Guru dari Itali ini pernah membangkitkan satu persoalan. “Negara Islam yang manakah paling maju dan demokratik?”. Rakan-rakan di dalam kelas hanya mendiamkan diri seribu bahasa, mungkin bagi mereka soalan ini begitu berat untuk dijawab. “Sudah tentu Malaysia dan Turki! Tetapi di antara keduanya, yang mana paling hebat?” Dia yang bertanya, dialah yang menjawab dan kini dia bertanya lagi, akhirnya barulah pelajar-pelajar mula bersuara.
Majoriti pelajar dalam kelas adalah dari Turki, juga tidak kurang ramainya pelajar asing. Apa yang mengejutkan hampir kesemua mereka mengatakan Malaysia jauh lebih maju dan demokratik dari Turki kerana beberapa faktor tertentu. Mereka yang tidak bersetuju membantah dengan berhujahkan hujah seperti Malaysia mendiskriminasikan kaum minoriti khususnya dari kaum Cina dan India, buktinya ‘sosial kontrak’ yang jelas memberikan kelebihan yang luar biasa pada kaum Melayu.
Saya merupakan satu-satunya pelajar Malaysia di dalam kelas bahkan ‘di Universiti’ tersebut, apa yang menarik, saya langsung tidak mempunyai peluang untuk bersuara apatah lagi membidas persoalan yang dibangkitkan sebaliknya rakan-rakan daripada Negara Eropah, Afrika dan Turki sendiri yang bangkit menjawab, dan jawapan yang diberikan sangatlah mengkagumkan seolah-olah mereka lebih tahu Malaysia dari saya sendiri.
“Mungkin dari satu sudut anda benar mengatakan Malaysia mendiskriminasikan kaum Cina dan India, tetapi bagaimana pula dengan Turki? Tidakkah kita sendiri mendiskriminasikan kaum Kurdish? Hak-hak kaum Kurdish tidak pernah direalisasikan sehingga tertubuhnya kumpulan Pengganas ‘PKK’ untuk membela hak-hak mereka yang dinafikan bahkan sekarang lebih parah apabila mereka telah lari dari tujuan dan matlamat asal dengan ingin mewujudkan sendiri Negara Kurdish yang merdeka!. Adakah hal ini berlaku di Malaysia?. Kumpulan pengganas apakah yang wujud di Malaysia untuk menunutut hak-hak kaum minoriti?…
…Dari satu sisi pula, ternyata anda silap, bagi saya Malaysia tidak mendiskriminasikan kaum Cina dan India kerana mereka bukan warga pribumi, mereka dibawa masuk oleh kolonial Inggeris ke Malaysia untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu, sudah tentu mereka sebagai warga pribumi tidak mahukan perkongsian hak yang sama rata kerana tanah itu tanah mereka, mereka adalah tuan tanah, maka terbentuklah sosial kontrak selepas pemerintah Malaysia bersetuju menerima mereka (kaum Cina dan India) untuk duduk dan tinggal sebagai rakyat Malaysia tetapi dengan menghormati dan menerima hak-hak kaum pribumi yang sememangnya lebih tinggi dan kuat. Mungkin mereka (kaum Cina dan India) bertuah kerana Malaysia menerima mereka…
…Bagaimana pula situasi di Turki? Adakah kaum Kurdish itu kaum pendatang? Tidak, mereka bukan kaum pendatang! Mereka adalah bangsa pribumi yang telah lama menetap di sebahagian wilayah yang kini terletak di dalam Turki, tetapi mengapa mereka di sini di layan sebagai warga second class? Kenapa hak-hak mereka dipertikaikan? Jangan lupa, kaum Kurdish juga yang membantu kejayaan Turki menghalau kaum Greek keluar dari sini”. Penjelasan ini dibuat oleh rakan saya yang berasal dari Negara Georgia, orangnya sangat berminat dengan debat dan di setiap kelas dialah orang yang paling banyak bersuara dan dia pernah mengatakan pada saya bahawa dia memandang Malaysia sebagai negara Islam yang terbaik dari aspek-aspek tertentu.
Perdebatan kian hangat apabila salah seorangnya pula mendakwa Malaysia bukan Negara Islam yang moden kerana wujudnya hukum Syariah dan ini menandakan Malaysia adalah negara konservatif dan Islamis sebaliknya Turki mengguna pakai sistem Sekular.
Rakan yang menjawab persoalan ini adalah warga Turki sendiri, jawapannya benar-benar membuatkan rakan-rakan lain ketawa kerana ada logiknya juga, katanya “Saudara, cuba ulang balik persoalan guru, kita bercakap tentang”Negara Islam” bukan? Negara Islam sudah tentu perlu adanya hukum Syariah walaupun sekumit kerana itulah menamakannya Islamik. Kalau tidak ada hukum Syariah walau sedikit seperti di Turki, adakah ini dinamakan ‘Negara Islam?’ Sudah tentu tidak! Maka Turki adalah Negara Sekular seperti negara Eropah yang lain dan secara automatiknya, Turki terkeluar daripada senarai Negara Islam. Sebelum bidas, fikir dahulu”.
Saya terus mengangkat tangan untuk menambah hujah, saya mengatakan bahawa kita perlu bersikap adil membuat pengkajian yang teliti terlebih dahulu, mereka mendakwa Malaysia mengamalkan hukum Syariah, tetapi hukum yang bagaimana? Adakah hukum Hudud? Tidak sama sekali kerana di Malaysia hukum Syariah yang lebih spesifik seperti Hudud tidak pernah dilaksanakan kerana Pemerintah negara tidak menghalalkannya dan masih tidak bersedia dengan perlaksanaanya sebaliknya Syariah yang wujud di Malaysia hanyalah sekitar masalah kekeluargaan Islam seperti perceraian, hak penjagaan anak, perceraian dan sebagainya.
Kali ini, guru dari Itali itu mengemukakan satu persoalan yang boleh dikatakan setepet. “Di Malaysia, tiada hak kebebasan untuk bersuara, sesiapa yang mengkritik Kerajaan akan ditangkap, rakyat tidak ada hak untuk bersuara menyatakan pandangan mereka, lihat sahaja isu-isu di Malaysia, kebanyakan yang ditangkap adalah disebabkan mereka mengkritik Kerajaan dan menyentuh soal agama”.
Saya memang agak terkesima di situ, tetapi sebelum saya sempat menjawabnya, rakan dari Somalia membangkitkan satu persoalan yang menyetepetkan guru dari Itali itu semula. “Persoalan tentang kebebasan bersuara adalah satu persoalan yang tiada jawapan muktamad. Bahkan tidak ada langsung negara di dunia ini memberi hak kebebasan bersuara secara total kepada rakyatnya termasuklah negara anda, Itali…
…Buktinya? Mudah sahaja, di Eropah, rakyatnya diharamkan untuk mengkritik kaum Yahudi, sekiranya ada yang membuatkan kenyataan yang tidak menyenangkan atau mengkritik kaum Yahudi, mereka pasti akan dicop sebagai ‘anti semetik’, perkauman dan di sesetengah negara itu, mereka akan ditahan. Maka. di mana hak bersuaranya? Itu belum lagi sekiranya kita menyentuh persoalan tentang kebebasan dalam pemakaian dan sebagainya. Orang Muslim di Eropah contohnya di Perancis diharamkan menutup aurat, memakai purdah dan sebagainya, tetapi gadis-gadis yang ingin bertelanjang bulat dibenarkan. Di mana hak dan kebebasan yang di war-warkan itu?…
…Kebebasan bersuara wujud di setiap Negara cuma ianya terbatas dan kita wajib pelajari cara untuk menghormatinya, kerana keterbatasan itu wujud untuk menjaga kententeraman awam”. Kata-kata rakan Somalia ini mendapat tepukan gemuruh oleh rakan sekelas hatta daripada rakan negara Eropah juga tanya bersetuju. Salah seorang rakan Turki pula menyeloroh “sekurang-kurangnya kerajaan Malaysia tidak mengharamkan Facebook dan Twitter seperti di Turki, jadi rakan-rakanku jangan bermimpi mendakwa negara (Turki) kita mengamalkan hak kebebasan bersuara!”.
Kelas ini berlangsung selama 3 jam, jadi kami masih mempunyai baki 1 jam, dan guru terus membiarkan pelajar-pelajar berdebat memandangkan 2 minggu lagi akan berlangsungnya peperiksaan semester, jadi kesemua topik-topik telah dipelajari dan gurunya memberi markah lebih bagi mereka-mereka yang bersuara mengemukakan pendapat.
“Saya rasa, Pakistan juga boleh dikatakan Negara Islam yang bagus kerana mempunyai ketenteraan yang sangat kuat bahkan boleh dikatakan sekuat Turki. Negara Islam perlu kuat daripada segi ketenteraannya juga demi kestabilan negara”. Dakwa rakan dari Pakistan. Kali ini saya ingin lebih banyak bersuara sekalipun saya akui saya masih banyak kekurangan pengetahuan dan jawapan saya lebih kepada jawapan yang menimbulkan persoalan dan logik.
“Saya tidak bersetuju, kerana negara Islam itu perlu neutral dari semua segi, bukan sahaja dari ketenteraan, juga ekonominya, institusi pelajarannya dan juga teknologi. Apa gunanya mempunyai ketenteraan yang kuat tetapi rakyat masih hidup dalam kemiskinan dan tidak berilmu. Meletakkan syarat Negara Islam itu perlu mempunyai ketenteraan yang kuat boleh diterima sekiranya negara itu mempunyai ekonomi yang kuat dan rakyatnya tidak hidup di dalam kemiskinan. Tapi saya akui bahawa setiap negara itu berbeza seperti Pakistan dan Turki mempunyai banyak musuh yang sentiasa mengancam kestabilan negara mereka seperti India, Armenia, Greece, Iran, Irak dan Syria bahkan ditambah pula dengan masalah dalamannya sendiri seperti kewujudan kumpulan pengganas PKK dan Taliban. Maka kekuatan ketenteraan itu perlu ada”.
“Alaaah Thaqib, Negara (Turki) kami kuat kencing tapi tak berani buat apa-apa. Masih saya ingat lagi, ketika kapal bantuan Mavi Marmara kami diserang tentera Zionist Israel sehingga menyebabkan 9 orang terbunuh, apa yang Mr Erdogan (ketika itu Perdana Menteri Turki) lakukan? Dia mengancam untuk menyerang Israel! Ya memang, tapi itu dongeng belaka, ancaman kosong tanpa apa-apa tindakan. Ini juga berlaku sekali lagi ketika Israel menyerang Palestin tahun lepas, Pemimpin kami turut mengancam menyerang Israel, tapi jangan katakan askar, peluru pun tidak ada yang menghinggap ke badan tentera Israel. Ini semua dongeng belaka. Negara kami hanya hebat bersuara tetapi takut melaksanakannya”. Kata-katanya membuatkan rakan-rakan saya dari kalangan penyokong parti AKP (parti kerajaan Turki) di dalam kelas itu agak sedikit berang memandangkan yang bersuara itu adalah dari kalangan penyokong tegar CHP (parti sekular Turki).
“Itu semua taktik untuk membuatkan Israel takut, kami perlu memikirkan kesan-kesan yang mendatang sekiranya Turki benar-benar ingin mengisytiharkan perang terhadap Israel!”. Bidas mereka.
Kini rakan Syria saya yang dari mulanya hanya melihat perdebatan itu berlangsung kini mula bersuara.
“Saya sebenarnya berasal dari Palestin, berimigrasi ke Syria kini ke Turki. Sejujurnya kami rakyat Palestin sudah letih dan bosan mendengar ancaman-ancaman yang tidak pernah berlaku daripada negara -negara Islam yang lain. Semuanya omong kosong belaka kerana tidak ada Negara Islam yang benar-benar berani menyerang Israel kerana kesannya sangat besar, Negara-negara Eropah, Amerika Syarikat pasti akan turut memberi bantuan kepada anak emas mereka, Israel. Kami hanya memerlukan doa dan sedikit bantuan seperti barang-barang keperluan”. Sehabisnya dia mengemukakan pendapat, guru Itali itu terus menamatkan kelas kerana dia sedar bahawa perdebatan yang berlangsung sebenarnya sudah hampir kepada pertelingkahan.
Kata-kata rakan Syria ini mengingatkan saya dengan rakan Palestin yang pernah saya tingga serumah dahulu. Namanya Mahmud, ketika saya mula-mula masuk ke rumah, dia kelihatan terkejut kerana katanya dia tidak pernah terbayang ada rakan dari Malaysia kerana dia selalu hanya dapat melihat orang Malaysia di Palestin dalam program misi kemaunisaan tetapi tidak pernah pula bercakap dan sekarang, bukan sahaja boleh berkawan, duduk sebilik pula. Dia terus menceritakan sebab-sebab dia menyukai Malaysia.
“Malaysia Negara yang sangat cool dan tidak angkuh, Malaysia membantu setakat yang mampu. Ketika Palestin diserang, saya pasti akan tertunggu-tunggu kenyataan daripada Pemerintah Malaysia bukan dari pemerintah negara lain, kerana apa? Kerana Malaysia apabila membuat kenyataan pasti yang pertama mereka akan menyatakan bantahan terhadap serangan Israel yang tidak berprikemanusiaan dan keduanya menyatakan sokongan kepada Palestin dan akan cuba membantu setakat yang mampu. Tidak walau sekali pun saya mendengar mana-mana kenyataan pemerintah Malaysia yang mengancam untuk menyerang Israel dan inilah yang saya hormati, sekiranya anda tidak mampu menyerang maka diamkan diri jangan membuatkan kami di Palestin menjadi begitu berharap. Kami bukan angkuh untuk tidak mengharapkan bantuan ketenteraan dari negara Islam yang lain khususnya Arab tetapi kami sebenarnya sudah muak dengan kenyataan yang dusta seperti ini”.
“Negara-negara Islam yang lain perlu ambil contoh Malaysia”. Kenyataan ini datang dari rakan bukan Islam saya dan dia merupakan seorang warganegara Croatia. Mengapa dia mengatakan sedemikian? Kerana menurut pandangannya, Malaysia benar-benar mencerminkan Negara Islam yang moden dan wajar mendapat penghormatan barat. “Kami akui memang banyak barangan keluaran Malaysia itu tidaklah sekualiti barangan daripada negara maju yang lain, tetapi faktor lain yang saya lihat ialah kerja keras yang bangsa Malaysia lakukan untuk menghasilkan produk-produk tersebut…
…Saya bukan Muslim, tapi saya rasa kalau Nabi kamu (saw) masih wujud ketika ini, pasti dia berbangga dengan Malaysia. Lihatlah negara-negara Arab, mereka tidak mampu mengeluarkan apa-apa pengeluaran sebaliknya mengharapkan barat dan Amerika membantu, mereka lemah dan kerana itulah mudah negara-negara maju menghancurkan mereka…
…Dari satu sisi, UAE jauh lebih moden dari Malaysia, lihatlah kepesatan negara mereka. Cuma persoalan di sini, adakah kemajuan dan kemodenan yang tercapai itu datangnya dari tangan-tangan mereka (Arab Muslim) itu sendiri atau datangnya daripada kami (Orang putih)?. Sekiranya anda punyai minyak yang fantasi pasti akan menjadi realiti, begitu mudah bukan?. Mereka ada wang yang banyak jadi mereka hanya memerlukan orang lain mengendalikan mereka, kerana itulah mereka tidak berdaya saing dan mudah di ratah sehingga lumat, mungkin situasi di Malaysia berbeza kerana negaranya mampu menghasillkan keluaran sendiri walaupun ianya sukar dan kini mendapat penghormatan dunia…
…Saya tidak begitu berminat dengan Malaysia kerana saya mempunyai perkara-perkara yang tidak bersetuju contohnya dalam hal-hal seperti pendiskriminasian terhadap kaum LGBT, double standard terhadap kaum bukan pribumi, penekanan terhadap kaum bukan Muslim dan juga keterbatasan hak bersuara di Malaysia tapi saya perlu akui, Malaysia jauh lebih baik sekiranya dibandingkan dari negara-negara Islam yang lain”.
Kalau di Malaysia, rakyat di sini rata-ratanya mengangkat Turki dan Pemimpinnya sebagai Hero Islam. Apa sahaja yang dibuat mereka (Turki) dipandang sebagai benar dan wajar dicontohi, berbeza pula dengan masyarakat Islam di negara luar, mereka mengangkat Malaysia sebagai Hero Islam, Seperti di kota yang saya mendiami ini, kebanyakan mereka yang religious melihat Malaysia sebagai tempat paling sesuai untuk didiami untuk mengamalkan ajaran Islam. Bagi golongan sekularis pula mereka sangat menggemari dengan konsep friendly policy Malaysia dengan negara asing, Setiap perkara yang berbangkit pasti akan diselesaikan secara diplomasi (sesetengah rakyat Malaysia melihat ini sebagai tindakan yang takut dan lemah).
Sebaliknya, mereka di sini melihat Erdogan (Presiden Turki) sebagai Mafia yang suka mencari musuh kerana setiap masalah yang berlaku dengan negara jiran, beliau pasti akan membuat kenyataan yang mengancam dan tidak menyenangkan, lihat sahaja hubungan Turki dengan negara-negara jirannya seperti Irak, Iran, Syria, Armenia, Bulgaria, Greece dan lain-lain, semuanya bermasalah dan semuanya Ego dalam menyelesaikan masalah. Terkadangnya mungkin Erdogan terlupa yang beliau bukanlah Khalifah seperti Sultan Muhammad al Fatih dan kerajaan Turki bukanlah kerajaan Empayar Uthmaniyah yang agung. Dia (Erdogan) dan sebahagian rakyat Turki perlu kembali kepada realiti kerana Turki yang wujud sekarang adalah Turki yang sangat berbeza.
Bagi rakan-rakan Eropah pula, mereka melihat Malaysia sangat membangun. Kerajaan Malaysia (era Mahathir khususnya) sangat bijak dalam mengambil peluang membangunkan negara dengan mengambil contoh negara maju yang lain dan berani bersuara (mengkritik barat dan amerika) sekiranya pada pandangan mereka tidak benar. Sikap Malaysia dalam berdiplomasi perlu dijadikan contoh dan sikap disiplin rakyat Malaysia perlu diterapkan untuk umat Islam yang lain khususnya ketika melancong ke negara Eropah.
Anda perlu tahu bahawa Malaysia mudah masuk ke Eropah tanpa memerlukan visa bahkan pasport Malaysia terletak di ranking ke 8 dunia, terbaik dari kalangan negara Islam. Mengapa begitu mudah negara-negara Eropah membenarnkan rakyat Malaysia yang majoritinya Muslim ini masuk ke wilayah mereka? Kerana Malaysia mempunyai reputasi yang sangat baik, oleh itu apa sahaja perjanjian yang berkaitan dengan visa kemasukan ke Eropah pasti akan diluluskan dengan mudah berbanding permohonan dari negara Islam yang lain. – MYNEWSHU

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib