Wednesday, 14 January 2015

Perlawanan Amal: Terengganu, Kelantan sama hebat (4 Gambar)


Perlawanan Amal Untuk Mangsa Banjir di antara Terengganu dan Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin ShahKuala  Terengganu malam tadi.
Terengganu gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila hanya mampu seri tanpa jaringan dengan pasukan jiran Kelantan dalam Perlawanan Persahabatan Amal Untuk Mangsa Banjir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi.

Skuad kendalian Haji Abdul Rahman Ibrahim yang mempertaruhkan dua penyerang berbisa Paulo Rangel dan Abdul Manaf Mamat masih gagal merobek gawang pasukan lawan biarpun acap kali menggempur ke kawasan Kelantan sejak perlawanan dimulakan.

Pasukan Penyu turun tanpa seorang lagi awang import iaitu Hassan Chaito yang direhatkan tetap memperagakan aksi menarik dan berjaya menguasai permainan bagi tempoh 20 minit pertama sebelum skuad Kijang memberi tentangan agresif di separuh masa kedua. 

Ketumpulan di posisi serangan dan kegagalan barisan tengah berfungsi dengan baik menyebabkan kira-kira 5000 penonton yang hadir kecewa menyaksikan pertarungan dua Jaguh Pantai Timur ini. Paulo Rangel yang meledak hatrik ketika bertemu Lions minggu lalu kurang mendapat peluang dan pergerakannya mudah dibaca oleh pertahanan lawan.
Kesebelasan utama Terengganu dan Kelantan dalam perlawanan amal untuk mangsa banjir di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu malam tadi


Rangkaian 3 pemain Rangel, Gustavo dan Saha hampir membuahkan hasil namun percubaan mereka tersasar dari pintu gol Kelantan. Pelawat turut membuat serangan balas pantas namun kegopohan pemain mereka menyelamatkan gawang tuan rumah. Secara keseluruhan dalam perlawanan ini agak seimbang dan adil kepada kedua-duanya. Kereta Kebal Terengganu Vincent Bikana jadi penerima tunggal kad kuning kerana sengaja mengasari pemain lawan.

Sebanyak RM75,000 berjaya dikutip dalam perlawanan amal ini yang diumumkan sebaik aksi kedua-dua pasukan tamat. Wang ini hasil kutipan tiket dan sumbangan orang ramai akan diserahkan kepada mangsa banjir di Terengganu dan juga Kelantan. Jutaan terima kasih diucapkan kepada mereka yang sudi hadir dan turut menderma bagi meringankan beban keluarga yang terlibat dengan musibah ini. -Terengganu Times

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib