Sunday, 11 January 2015

Kerajaan Terengganu bina rumah transit untuk mangsa banjir di Kelantan

Ahmad Razif bersama pemimpin setempat selepas meninjau pembinaan rumah transit di Dabong Kelantan.
Kerajaan negeri Terengganu telah membina 21 unit rumah transit di Dabong Kelantan sebagai rumah sementara untuk mangsa banjir yang kehilangan kediaman mereka akibat bencana alam baru-baru ini.
Menteri Besar Dato’ Ahmad Razif Abd Rahman berkata kerajaan negeri melalui konsep Transformasi Terengganu Baharu (TTB), telah mengambil inisiatif dengan membina rumah transit ini bagi membantu mangsa-mangsa yang terjejas teruk selepas banjir yang melanda Kelantan.
Beliau berkata selaras dengan konsep TTB ini, kerajaan negeri Terengganu tampil untuk menyumbang kepada negeri jiran dan berharap ia sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban mangsa banjir. Beliau berkata demikian selepas melawat tapak rumah transit di Dabong Kelantan.
Rumah transit yang dibina dilengkapi dengan bahagian dapur serta tandas bagi memudahkan penduduk menjalani kehidupan harian sementara rumah mereka dibaiki dan selepas siap rumah ini akan diduduki oleh mangsa banjir yang lain pula.
Rumah transit untuk mangsa banjir kini dalam proses pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat.
Ahmad Razif turut memberitahu rumah ini dibina hasil kerjasama kerajaan negeri Terengganu dan Terengganu Chinese Chamber of Commerce & Industry (TCCCI) yang menyumbang kayu-kayu dan bahan binaan untuk menyiapkan kediaman sementara itu.
”Kerajaan Terengganu terus komited dalam membantu rakyat Kelantan khususnya di Dabong dalam proses pembersihan pasca banjir menjelang sesi persekolahan yang akan bermula minggu ini, katanya.
Khamis lalu, seramai 1000 individu dari Skuad Sukarelawan Transformasi Terengganu Baharu (SSTTB) termasuk 100 tukang kayu telah dihantar untuk membantu dalam proses pembersihan sekolah di Dabong dan Machang Kelantan dan membina 21 unit rumah transit.
Turut hadir dalam lawatan ini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Ketua Umno Bahagian Kuala Krai, Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai Datuk Ramzi Ab. Rahman, Exco dan Adun Kerajaan Terengganu. -Terengganu Times

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib