Sunday, 25 January 2015

Jika Diluluskan… Merotan Anak Bakal Jadi Satu Jenayah

Cadangan kes merotan anak sebagai kesalahan jenayah.
Hukuman rotan untuk mendidik anak-anak sememangnya sudah sinonim dalam masyarakat kita sejak dulu lagi.
Namun, kenyataan terbaru oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim mengenai akta baru yang akan menggantikan Akta Kanak-Kanak 2001 mungkin bakal mengubah kebiasaan tersebut.
Ia ekoran cadangan menjadikan hukuman rotan sebagai satu kesalahan dalam akta tersebut yang bakal dibentangkan di Parlimen selewat-lewatnya Jun depan.
Menurut Rohani, kerajaan tiada pilihan kerana Malaysia adalah antara negara yang sudah menandatangani perjanjian Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
CRC ditubuhkan untuk mempertahankan suara kanak-kanak dan akta yang melibatkan golongan itu perlulah selari dengannya.
Pada masa yang sama, beliau turut meminta agar masyarakat mengambil iktibar dalam kes yang membabitkan pasangan Malaysia yang dikenakan hukuman di Sweden kerana kesalahan merotan sebelum ini.
Menerusi The Rakyat Post, Rohani memaklumkan bentuk hukuman terhadap ibu bapa yang merotan anak masih dalam perbincangan.
“Kalau kita tengok Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001, boleh dihukum denda maksimum RM20,000 atau penjara 10 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Jadi, kalau akta baru nanti mungkin lebih berat atau kita tambah untuk lakukan kerja kemasyarakatan untuk jadikan mereka lebih sedar serta insaf.
“Bagi Seksyen 33 pula, ibu bapa atau penjaga melakukan kesalahan dan jika sabit boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya,” katanya.
Susulan kenyataan itu, orang ramai mula memberi pelbagai pendapat menerusi laman sosial.
Rata-rata mereka tidak bersetuju dengan cadangan tersebut dan menganggap hukuman rotan ringan mampu memberi pengajaran kepada anak-anak.
rotan 1
rotan 2
Apapun, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan pastinya akta baru yang akan digubal nanti sudah mengambil kira setiap sudut positif dan negatifnya. – MYNEWSHUB

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib