Wednesday, 10 December 2014

Terengganu peruntuk RM2.37 bilion untuk Bajet 2015

Hadiah RM500 untuk setiap pelajar Terengganu yang mendapat keputusan 5A dlm UPSR 2014. Melalui SSPN-i.
KUALA TERENGGANU – Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman semalam membentangkan Bajet Terengganu 2015 berjumlah RM2.37 bilion dengan sasaran untuk meneruskan dasar pengurusan bajet lebihan.
Menerusi bajet bertema “Melestarikan Budi, Memacu Transformasi” itu, katanya kerajaan negeri menganggarkan akan memperoleh hasil sebanyak RM2.4 bilion iaitu peningkatan sebanyak sembilan peratus atau RM200 juta berbanding anggaran hasil pada tahun 2014.
Katanya bagi meneruskan dasar pengurusan bajet lebihan, kerajaan negeri akan hanya membelanjakan sebanyak RM2.37 bilion daripada RM2.4 bilion hasil yang bakal diperolehi demi menjana pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat tercapai.
“Pendapatan daripada Hasil Cukai dianggarkan sebanyak RM51.4 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM215.79 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM2.13 bilion.
“Daripada jumlah anggaran hasil tersebut, 88.6 peratus bakal diperolehi daripada sumber Kerajaan Persekutuan khususnya melalui Dana Khas serta pemberian tahunan manakala baki 11.4 peratus adalah daripada sumber negeri sendiri,” katanya ketika membentangkan Bajet 2015 dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu semalam.
Ahmad Razif yang pertama kali membentangkan bajet selepas dilantik Menteri Besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said pada 12 Mei lalu, berkata kerajaan negeri menggunakan pendekatan inklusif dalam menerima pandangan rakyat mengenai Bajet 2015 melalui Majlis-Majlis Perundingan Rakyat (MPR) di setiap daerah serta ‘Minggu Cadangan Bajet’ yang diadakan secara dalam talian atau online.
“Malah, saya sendiri menerima ribuan cadangan dan pandangan melalui laman sosial Facebook, Whatsapp dan Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) dan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada rakyat Terengganu atas cadangan yang bernas itu.
“Bajet 2015 ini adalah bajet dari rakyat, kepada rakyat dan untuk rakyat di mana kerajaan negeri akan melakukan transformasi dalam meneruskan budaya dan tradisi kerajaan Barisan Nasional yang tidak putus-putus menyemai bakti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, ekonomi Terengganu dijangka menerima tempias yang positif pada tahun 2015 dengan pertumbuhan ekonomi diunjurkan pada kadar 3 peratus.
Perkembangan ini disokong oleh pengekalan dan daya tahan yang kukuh melalui asas ekonomi domestik dan pelaburan swasta serta pasaran buruh yang stabil, katanya.
Ahmad Razif berkata, jumlah pelaburan yang telah diluluskan di Terengganu dari Januari 2013 hingga Februari 2014 ialah sebanyak RM7.1 bilion yang membuka 3,400 peluang pekerjaan.
Sebanyak empat strategi diberi fokus dalam Bajet 2015 iaitu memperkasa sistem penyampaian kerajaan, memantapkan pembangunan modal insan, meningkatkan kesejahteraan rakyat dan merancakkan ekonomi negeri.
Di bawah Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM128.8 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang diperuntukkan oleh undang-undang dan sejumlah RM2.241 bilion untuk Perbelanjaan Bekalan.
Di bawah Perbelanjaan Bekalan, sebanyak RM1.612 bilion diperuntukkan untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap; RM267.4 juta untuk perbelanjaan Emolumen;
RM218.05 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan; RM42.67 juta untuk Aset dan RM101.6 juta untuk Lain-Lain Perbelanjaan.
Bagi peruntukan pembangunan, sejumlah RM699.8 juta adalah untuk sektor sosial yang meliputi subsektor pendidikan, pembangunan masyarakat, perumahan, pembangunan bandar dan luar bandar, kerajaan tempatan, sukan dan kesihatan.
Sebanyak RM335 juta disediakan untuk sektor ekonomi yang terdiri daripada subsektor pelancongan, pertanian, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), infrastruktur dan kemudahan awam manakala RM201.3 juta diperuntukkan untuk sektor pentadbiran meliputi subsektor pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), pentadbiran am dan projek khas.  – Bernama

Ringkasan mengenai bajet hari 

43 fakta ringkas tentang Bajet Negeri 2015

1. Bajet dari rakyat kepada rakyat untuk rakyat
2. Bersifat inklusif kerana mengambilkira pandangan rakyat melalui Majlis Perundingan Rakyat, secara online melalui minggu pandangan bajet, whatsapp, sms. Terima kasih kepada semua yang telah memberi input.
3. Hasil RM2.4 bilion pada tahun 2015. Bajet surplus.
4. Peruntukan Pembangunan RM699.8 juta (sektor sosial), RM335 juta (sektor ekonomi), RM201.3 juta (sektor pentadbiran).
5. Empat strategi
Pertama : Memperkasa Sistem Penyampaian Kerajaan.
Kedua : Memantapkan Pembangunan Modal Insan.
Ketiga : Meningkatkan Kualiti Hidup Rakyat.
Keempat : Merancakkan Ekonomi Negeri.
6. Penubuhan Majlis Perundingan Integriti Negeri Terengganu (MPINT)
7. Bantuan ehsan RM 500 bagi setiap keluarga mangsa banjir baru baru ini.
8. RM10 juta - kemudahan WiFi di tempat strategik seluruh negeri
9. Kemudahan permohonan secara online bagi bantuan kerajaan
10. Hadiah RM100 untuk setiap bayi yg lahir dlm tahun 2015. Melalui SSPN-i.
11. Bonus utk Guru - Guru Pintar Qur’an
12. Hadiah RM500 untuk setiap pelajar Terengganu yang mendapat keputusan 5A dlm UPSR 2014. Melalui SSPN-i
13. Bina 3 lagi Sekolah Menengah IMTIAZ dgn kos keseluruhan RM 180 juta
14. Program Melahirkan Yusuf al Qaradawi.
15. Institut Al Qu’ran Terengganu - naik taraf Kolej.
16. Hadiah baucer RM 500 utk pelajar masuk IPT
17. PTPTN - kerajaan menampung bayaran caj pengurusan 1%.
18. 10 lagi biasiswa PhD, bagi kakitangan Kerajaan Negeri.
19. Biasiswa penuh utk 3 pelajar cemerlang SPM, sehingga ke peringkat Doktor Falsafah (PhD). Program Saintis Islam (PSI).
20. Makmal bahasa di 32 buah sekolah.
21. Tambahan peruntukan utk Program “Second Honeymoon”.
22. RM30 juta untuk pelaksanaan Program Bina Baru dan Baikpulih Rumah.
23. RM 10 juta utk Tabung Dana Khas Darul Iman utk org miskin dan pesakit kronik.
24. Pusat Hemodialisis dan Pusat Rehabilitasi di setiap 8 kawasan Parlimen utk pesakit buah pinggang dan pesakit yg memerlukan rawatan susulan.
25. Yayasan PBT di setiap daerah. 1% pendapatan PBT dimasukkan dlm Yayasan utk golongan miskin.
26. Percuma - Perkhidmatan bas bandar
27. RM19 juta untuk pembangunan bekalan air.
28. Program Latihan Pembantu Rumah utk bantu ibu tunggal dan org miskin
29. Taman Rekreasi Keluarga - RM 2 juta setiap daerah.
30. Kenaikan insentif dari RM 2000 kpd RM 5000 utk Persatuan Belia yg aktif.
31. RM2,000 untuk setiap PIBG.
32. RM60 juta bagi menjayakan program kebersihan.
33. RM 34 juta bagi kerja - kerja - perparitan.
34. RM 5 juta utk Peniaga kecil di kampung - kampung
35. Bazar Rakyat di Kuala Terengganu - Pasarnita utk wanita berniaga.
36. RM10 juta utk bantu golongan ibu tunggal berniaga
37. Pengayuh beca roda tiga, pemandu bot penambang tradisional - sumbangan sebanyak RM200 sebulan.
38. RM 20.6 juta - Program pertanian.
39. RM17.3 juta untuk pengurusan sukan.
40. RM 10 juta utk Litar Motosikal yg akan dibina di kawasan di Gong Badak
41. Bonus setengah bulan gaji atau minimum RM500 utk kakitangan awam.
42. Tema Melestarikan Budi, Memacu Transformasi.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib