Sunday, 14 December 2014

Remaja dipercayai lemas di Teluk Bidara Dungun

Orang ramai dimohon berdoa agar misi pencarian Syed Mustaffa Syed Mohammad Suhaimi dapat dipermudahkan.
DUNGUN: Seorang pemuda dipercayai lemas selepas mandi bersama sepupu dan seorang rakan mereka di Pantai Peranginan Kampung Teluk Bidara, Seberang Pintasan, dekat sini, petang semalam.

Syed Mustaffa Syed Mohammad Suhaimi, 18, yang berasal dari Durian Burung, Kuala Terengganu dikatakan gagal diselamatkan sebelum tenggelam ke dasar laut, kira-kira jam 6.30 petang.

Mangsa bersama sepupunya Syed Ali Syed Alwi, 18, berasal dari Durian Burung, Kuala Terengganu dan rakan mereka Muhammad Jalaluddin Ali Hassan, 21, dari Kampung Sungai Buaya Dungun pergi ke pantai terbabit, kira-kira jam 6 petang.

Ketika kejadian, sepupu mangsa mandi di tengah laut, manakala mangsa bersama rakannya mandi di tepi pantai terbabit sebelum kedua-dua mereka dihanyutkan arus dan menjerit meminta tolong.

Syed Ali yang terdengar jeritan terbabit segera berenang menghampiri mangsa, namun gagal mencapai tangan mangsa berikutan ombak kuat sebelum mangsa tenggelam, manakala rakan mereka yang turut dipukul ombak berjaya menyelamatkan diri.
Tempat kejadian lemas Syed Mustaffa Syed Mohammad Suhaimi di Pantai Teluk Bidara Dungun. 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, polis yang menerima laporan bersama anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba Dungun bergegas ke tempat kejadian.

Katanya, pasukan mencari dan menyelamat dengan bantuan Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk kampung terpaksa menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa melalui tinjauan di kawasan tepi pantai berikutan ombak besar.

"Keadaan ombak besar menyulitkan operasi mencari dan menyelamat yang ditamatkan kira-kira jam 2 pagi dan akan disambung semula jam 7 pagi ini," katanya.-Berita Harian

1 comments:

  1. Al-fatihah buat arwah.. Situ mkn org sokmo... Tiap2 tahun..

    ReplyDelete

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib