Thursday, 11 December 2014

Pasaraya Sabasun Gong Badak nyaris dirompak

Pasaraya Sabasun Wakaf Tembesu Gong Badak di Kuala Nerus.
KUALA TERENGGANU - Tindakan berani dua pengawal keselamatan yang nekad terjun dari surau berjaya menyelamatkan diri mereka daripada menjadi mangsa rompakan empat lelaki bersenjata, dalam satu kejadian di Pasaraya Sabasun Wakaf Tembesu, di sini, awal pagi kelmarin.

Bukan itu sahaja, tindakan bijak yang diambil kedua-dua mereka turut berjaya mematahkan niat jahat empat lelaki tersebut yang dipercayai cuba merompak pasar raya berkenaan.

Ini sebab, sebaik menyedari kedua-dua mangsa berjaya melarikan diri, empat perompak yang memakai baju uniform dan bertopeng terus membatalkan niat untuk merompak pasar raya tersebut dengan meninggalkan lokasi kejadian serta-merta.

Menurut pengurus kanan dagangan pasar raya berkenaan, Syamsul Mohd Yusof, kejadian berlaku kira-kira jam 1.40 pagi ketika kedua-dua mangsa sedang bertugas sebelum dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki bertopeng memakai baju sama.

“Keempat-empat suspek yang masing-masing bersenjatakan parang telah mengikat tangan mangsa yang dikenal sebagai Pak Awi terlebih dahulu dan membawanya ke surau sebelum datang semula mendapatkan mangsa kedua Pak Salim.

“Dalam keadaan tangan dan kaki yang diikat, Pak Salim turut dibawa ke surau, bagaimanapun apabila sampai di dalam surau, mereka dapati Pak Awi yang diletakkan di situ terlebih dahulu sudah tiada,” katanya ketika ditemui, semalam.

Syamsul berkata, yakin Pak Awi berjaya melepaskan diri, keempat-empat suspek telah meninggalkan Pak Salim di dalam surau berkenaan bersendirian untuk mencari Pak Awi.

“Semasa itulah, Pak Salim mengambil kesempatan menyelamatkan dirinya sebelum nekad terjun dari surau meskipun menyedari risiko yang ditanggung boleh membahayakan diri sendiri.

“Apabila semuanya selamat, Pak Salim melarikan diri ke kawasan rumah berhampiran untuk mendapatkan bantuan dengan menghubungi pihak polis,” katanya.

Jelasnya lagi, mungkin bimbang akan keselamatan mereka, sebaik menyedari kedua-dua mangsa berjaya melarikan diri, keempat-empat suspek terus beredar dari lokasi kejadian.

Kata Syamsul lagi, Pak Awi telah keluar dari tempat persembunyiannya iaitu di dalam paya berhampiran kira-kira dua jam kemudian selepas yakin keadaan selamat.

“Disebabkan masih trauma dengan insiden ini, kedua-dua mangsa diberi cuti rehat sehingga dimaklumkan kelak,” katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, walaupun kejadian seumpama ini merupakan kali pertama berlaku di pasar raya berkenaan, namun pihaknya akan tetap memandang serius dengan cuba menaiktarafkan beberapa sistem keselamatan yang ada.

“Berkemungkinan pihak pasar raya akan memperbanyakkan lagi pemasangan lampu di sekitar premis selain menambah jumlah kakitangan pengawal keselamatan yang berkhidmat di sini.

“Selain itu, insya-Allah, kami akan memperbanyakkan lagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang sedia ada,” katanya.

Tambah Syamsul lagi, dalam masa sama pihaknya turut mengharapkan kerjasama daripada pihak berkuasa terutamanya polis agar dapat membuat rondaan cegah jenayah dengan lebih kerap di sekitar lokasi terutamanya pada waktu tengah malam.

Wan Zulaidi menunjukkan tingkap surau yang digunakan kedua-dua mangsa untuk terjun bagi menyelamatkan diri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan menjelaskan kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan merompak.

Dalam masa sama, Idris menasihatkan orang ramai terutamanya pemilik pasar raya atau bangunan kedai agar dapat mengadakan kawalan keselamatan dari pengawal keselamatan dilantik dengan lebih kerap, lebih-lebih lagi di waktu luar operasi.

Selain itu, Idris turut menasihati pemilik pasar raya akan jangan kedekut keluar modal memasang CCTV yang lebih banyak dan menggunakan jenama lebih canggih demi keselamatan.

“Dari segi pemasangan CCTV, pihak kami sentiasa bersedia untuk membantu memberi khidmat nasihat sekiranya diperlukan.

“Pemilik pasar raya atau bangunan kedai boleh mendapatkan khidmat nasihat atau idea terutama untuk memilih lokasi yang strategik memasang CCTV. Kami boleh menghantar pegawai kami bagi memberi pandangan,” katanya.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib