Wednesday, 24 December 2014

(27 Gambar) Banjir: Pahang, Kelantan, Terengganu makin buruk

Banjir di Kelantan.
KUALA LUMPUR – Keadaan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang semakin buruk tengah hari ini apabila lebih ramai mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan berbanding pada sebelah pagi manakala lima buah kampung di Beaufort, Sabah dilanda banjir tengah malam tadi.
Di KELANTAN, mangsa banjir di lapan jajahan meningkat sebanyak 241 orang daripada 20,468 orang pagi tadi, menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir tengah hari ini kepada 20,709 orang.
Menurut portal banjir kerajaan negeri, pusat pemindahan juga bertambah daripada 70 buah kepada 84 buah tengah hari ini bagi menempatkan kesemua 20,709 mangsa banjir daripada 6,795 keluarga.
Bacaan paras air di empat sungai utama di negeri ini melebihi paras bahaya iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang 10.34 meter (paras bahaya 9 meter), Sungai Galas di Dabong, Gua Musang pada 42.08 meter (paras bahaya 38 meter), Sungai Lebir di Tualang, Gua Musang 40.27 meter (paras bahaya 35 meter), Sungai Kelantan di Tangga Krai, Kuala Krai 29.10 meter (paras bahaya 25 meter) dan Sungai Kelantan di Jambatan Guillemard, Tanah Merah pada 17.95 meter (paras bahaya 16 meter).
Sementara jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Kuala Krai meningkat seramai 316 orang berbanding 1,328  pagi tadi kepada 1,644 orang tengah hari ini, dan kesemua mereka ditempatkan di 21 pusat pemindahan.
Di Tanah Merah jumlah mangsa banjir meningkat kepada 240 orang yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan berbanding 141 mangsa di dua pusat pemindahan, dan di Jeli, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 282 daripada 211 mangsa pagi ini yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan.
Jumlah mangsa banjir di Gua Musang berkurangan sebanyak 79 orang iaitu daripada 3,692 pagi tadi kepada 3,513 orang tengah hari ini yang ditempatkan di 11 pusat pemindahan.
Mangsa banjir di 32 pusat pemindahan di Pasir Mas juga  menurun kepada 10,497 orang berbanding 10,565 orang pagi tadi dan begitu juga di Tumpat yang berkurangan kepada 3,901 orang di tujuh pusat pemindahan berbanding 3,956 orang pagi tadi.
Sementara di Pasir Puteh kekal 556 orang di empat pusat pemindahan di Machang juga kekal 19 orang di sebuah pusat pemindahan.
Sehingga kini jumlah kematian akibat banjir di Kelantan sejak 16 Disember lalu kekal empat orang.
Di TERENGGANU, jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat mendadak kepada 11,731 orang berbanding 6,003 pada sebelah pagi, menurut portal Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu.
Daerah Kemaman mencatatkan peningkatan ketara iaitu 5,487 orang dipindahkan berbanding 1,877 orang pada sebelah pagi tadi.
Di Besut jumlah mangsa terus meningkat kepada 495 orang manakala Kuala Terengganu bertambah kepada 2,732 orang dan di daerah Dungun dan Hulu Terengganu masing-masing meningkat kepada 2,205 orang dan 686 orang.
Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di Marang dan Setiu masing-masing kekal sebanyak 102 dan 22.
Jumlah pusat pemindahan di seluruh negeri adalah sebanyak 90 buah iaitu sembilan di Besut, Dungun (19), Hulu Terengganu (14), Kemaman (36), Kuala Terengganu (lapan), Marang (dua) dan Setiu (dua).
Kelantan.



Gua Musang.

Pasar Besar Kuala Krai Kelantan.

Pinggir bandar raya Kota Bharu

SMK Manik Urai, Kuala Krai, Kelantan.

Kuala Lipis Pahang.

Kampung Kuala Tahan, Taman Negara.

Lokasi di Taman Negara, Pahang.

Kuantan .

Tanah runtuh di Jengka Pahang.
Di PAHANG, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 2,555 orang daripada 598 keluarga di enam daerah termasuk daerah Rompin yang dilanda bencana alam itu hari ini.
Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata, di Rompin sebanyak 169 orang daripada 38 keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan yang dibuka pada 12.30 tengah hari ini.
Katanya Kuantan masih mencatatkan jumlah mangsa banjir paling banyak iaitu 1,421  orang daripada 357 keluarga ditempatkan di 19 pusat pemindahan banjir.
“Di Maran melibatkan 594 orang daripada 121 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan, Lipis (325 oarang daripada 71 keluarga di tiga pusat pemindahan), Pekan (25 orang daripada lima keluarga di dua pusat pemindahan) dan Jerantut (21 orang daripada enam keluarga di satu pusat pemindahan),” katanya kepada Bernama.
Katanya, enam laluan utama di tiga daerah ditutup kepada semua kenderaan iaitu di Kuantan membabitkan Jalan Kuantan-Sungai Lembing (dekat Jambatan Sungai Riau), Jalan Kuantan- Sungai Lembing (Simpang Tiga Panching), daerah Lipis pula membabitkan Jalan Lipis-Gua Musang dan Jalan Lipis-Merapoh dan di daerah Maran ialah Jalan Benta-Jerantut dan Jalan Utama Bandar Maran.
Sementara itu, menurut laman web Jabatan Pengairan Dan Saliran Malaysia, paras air di empat batang sungai utama di Pahang telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tembeling di Kuala Tahan pada paras 75.35 meter (paras bahaya 68.00  meter), Sungai Pahang di Sungai Yap 54.93 meter (paras bahaya 52.00 meter), Sungai Kuantan di Pasir Kemudi 8.79 meter (paras bahaya 8.20 meter) dan Sungai Kuantan Bypass 5.27 meter (paras bahaya 3.50 meter).
Di SABAH, sebanyak 137 penduduk membabitkan 49 buah keluarga di lima buah kampung di daerah Beaufort dipindahkan ke Dewan Masyarakat Baru Beaufort sejak tengah malam tadi.
Pegawai Daerah Beaufort Mohd Shaid Othman berkata selain lima kampung tersebut, banjir turut menjejaskan 23 buah kampung lain dan menyebabkan lebih 10 buah jalan terputus hubungan atau hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Beliau berkata paras air Sungai Padas pada pagi ini setinggi 9.30 meter melebihi paras bahaya.
Ini merupakan kejadian banjir kali keempat berlaku di Tenom dan Beaufort pada tahun ini. Pertama pada Februari, kedua Mei dan ketiga November lepas. – Bernama

DUA lelaki terpaksa menyelamatkan diri di atas bumbung rumah kerana air naik mendadak di Bandar Lama Gua Musang. -Hmetro

Kampung Pasir Tumboh Jerek Gua Musang.

felda chiku 7 gua musang

Orang ramai tidak dapat meneruskan perjalanan akibat limpahan air Sungai Durian di Jalan Kota Bharu-Gua Musang yang memutuskan hubungan pengangkutan darat di Kuala Krai hari ini. – Foto Bernama

Keadaan banjir di Kolej Vokasional Kuala Krai.

Kuala Krai, Kelantan
Banjir di Kelantan.

1 comments:

  1. [KISAH BENAR]>>Peristiwa Pelik Berkali-kali Menimpa Jenazah Ini..apa Yang Berlaku??
    Klik untuk lihat gambar >> GAMBAR

    ReplyDelete

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib