Wednesday, 12 November 2014

Jam tangan paling mahal di dunia

Jam tangan emas jenama Patek Philippe pada pratonton di Sotheby's, di Geneva, Switzerland.
GENEVA: Jam tangan emas jenama Patek Philippe mencatat rekod lelongan paling mahal dan paling kompleks apabila dijual dengan harga AS$21.3 juta (RM68.16 juta) dalam satu lelongan di Switzerland, semalam.
"Henry Graves Supercomplication", yang dihasilkan dengan buatan tangan dan dinamakan menggunakan nama pemilik asalnya, seorang ahli perbankan di New York yang menempah jam itu pada tahun 1925.
Jam itu seberat setengah kilogram dan mengandungi 900 alat berasingan.
Sebelum ini, ia hanya diramal akan dilelong dengan harga AS$15 juta (RM48 juta) di lelongan Sotheby's Jewel and Watch Auction di Geneva.
Namun, pelanggan dan pembida yang bersaing hebat melonjakkan harganya ke paras termahal dengan tawaran terakhir yang berjaya mencatat 'rekod baharu dunia', demikian menurut Sotheby's.
Bagaimanapun, pembida atau pembeli jam berkenaan yang enggan mendedahkan identitinya, perlu membayar keseluruhan AS$24 juta (RM76.8 juta), termasuk komisyen.
Ia memerlukan masa lima tahun bagi Patek Philippe untuk menyelaras balik jam berkenaan yang mempunyai nama Graves pada butang pemutar jam.
Tim Bourne, Ketua Rangkaian Dunia Jam Sotheby's, berkata penjualan jam berkenaan mengesahkan jam itu kini 'berstatus bintang'.
Bourne menyifatkan jam tangan itu sebagai "ikon kurun ke-20' serta satu penghasilan hebat yang menampilkan tahap disiplin tinggi seni pembuat jam.

Seorang pakar industri jam berkata, sebelum lelongan itu jam berkenaan sekadar satu simbol aksesori mahal.
"Ia bukan jam yang anda akan pakai. Kini aa adalah jam yang menonjolkan simbol kekuatan, kuasa dan wang," katanya.
Jam berkenaan sebelum ini pernah ditawarkan untuk lelongan di Sotheby's New York pada Disember 1999, apabila Time Museum di Rockford, Illinois menutup operasi dan mula menjual barangannya.
Ketika itu, jam berkenaan dijual dengan harga AS$11 juta (RM35.2 juta) dan semalam, sekali lagi jam itu bersama 368 jam lain diletakkan untuk tawaran kepada pengumpul kaya raya yang datang dari seluruh dunia untuk menyertai lelongan selama empat hari itu. - AFP

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib