Saturday, 15 November 2014

Hilang penglihatan: Penuntut UiTM saman Hospital Dungun

Nur Laila (tengah) ditemani bapa, Md Yusuf Abd Kadir dan ibu, Rozita Hasan, semalam.
KUALA LUMPUR - Seorang penuntut sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) memfailkan saman, semalam terhadap Pengarah Hospital Dungun, Terengganu dan dua pihak lagi kerana didakwa cuai sehingga menyebabkannya hilang penglihatan.

Nur Laila Md Yusuf, 21, selaku plaintif memfailkan saman melalui Tetuan T Vijay & Co di Pejabat Pendaftar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan menamakan Pengarah Hospital Dungun; Pegawai Perubatan, Dr Tan Kian Kheng dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam pernyataan tuntutannya, pada 13 November 2013, plaintif yang menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Dungun telah mendaftar sebagai pesakit luar di Hospital Dungun kerana demam.

Plaintif diperiksa oleh defendan kedua yang membuat diagnosis dan memberikan enam jenis ubat iaitu Paracetamol, Piriton, Amoxycillin; Benadryl; Eye drop; dan Hydrocortisone.

Plaintif mengambil ubat mengikut nasihat diberikan, namun mendapati keadaan bertambah buruk dan mengalami tanda negatif termasuk suhu badan yang tinggi dan kesan lecuran pada kulit.

Plaintif telah pulang ke rumah ibu bapanya di Kuang, Selangor dan ibu bapa plaintif menjangkakan plaintif dijangkiti demam campak.

Hospital Dungun Terengganu
Bagaimanapun selepas mendapati semakin teruk, plaintif mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh dan didapati plaintif mengalami alahan terhadap antibiotik.

Plaintif seterusnya dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan ditahan selama dua minggu selepas keadaan kesihatan bertambah buruk.

Menurut pernyataan tuntutan itu, plaintif mendakwa telah mengalami kesan reaksi alahan menyebabkan fungsi matanya terjejas akibat kecuaian defendan-defendan.

Sehubungan itu, plaintif menuntut faedah dan kos terhadap kesemua defendan.

Difahamkan, plaintif yang merupakan pelajar tahun akhir kursus diploma pengurusan awam kini terpaksa menangguhkan pengajiannya.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib