Friday, 17 October 2014

TMJ tidak peduli kritikan aksi kungfu

TMJ menendang tiang bendera penjuru selepas tamat perlawanan JDT vs Terengganu di Larkin malam tadi.
Tindakan Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempamerkan 'aksi kungfu' sejurus wisel penamat perlawanan timbal balik suku akhir Piala Malaysia ditiupkan di Stadium Larkin, malam tadi jelas mendapat perhatian ramai.
Kejayaan dilakar Johor Darul Ta'zim (JDT) dengan menewaskan Terengganu 3-1, sekali gus melangkah ke peringkat separuh akhir itu terlalu menggembirakan sehingga tidak mampu Tunku Ismail menyimpan perasaan gembiranya dengan menyepak tiang bendera di penjuru padang.
Tindakannya itu pantas mengundang pelbagai reaksi terutama di laman sosial namun Tunku Ismail enggan melihatnya sebagai satu unsur yang negatif.
Dalam satu temubual dalam laman Facebook JOHOR Southern Tigers yang dianggap antara lidah rasmi Harimau Selatan, baginda berkata tindakannya itu sudah dirancang lebih awal selepas ditanya oleh adindanya apa sambutan yang akan dibuat seandainya JDT meraih kemenangan.
"Sebelum perlawanan bermula, adik saya bertanya bagaimana saya akan meraikan sekiranya kita menang pada malam ini. Saya menjawab, saya tidak tahu, mungkin saya akan buat seperti (Zlatan) Ibrahimovic dan menendang bendera penjuru.
"Itulah yang saya lakukan dan nampaknya saya mendapat lebih perhatian daripada beliau!" kata Tunku Ismail.

Selain menyepak tiang bendera, Tunku Ismail turut dilihat mengangkat tangan dan memandang ke atas yang disifatkannya tanda bersyukur kepada Allah.
"Saya memandang ke atas sebagai tanda Allah Maha Besar, dan akhirnya, Allah tetap bersama mereka yang benar," kata Tunku Ismail.
Mengulas mengenai kritikan terhadap tindakan yang dilakukannya, Tunku Ismail membalas adalah sesuatu yang lucu apabila sesetengah pihak lebih mengutamakan apa yang dibuatnya berbanding kemenangan dicapai JDT.
"Tentu sekali (gembira dengan kemenangan), terutamanya setelah segala perkara negatif yang berlaku dalam seminggu setengah yang lepas.
"Tetapi kelakar bila difikirkan, sesetengah orang yang rendah pemikirannya lebih sibuk hal saya menendang bendera penjuru berbanding dengan kemenangan kita.
"Rahsia menjadi bijak adalah untuk tahu apa perkara yang patut diabaikan. Kejayaan diukur bukan dengan kedudukan seorang itu dalam hidup, tetapi melihat kepada segala rintangan yang diatasi untuk mencapainya.
"Tiada apa yang mampu menghalang seseorang yang mempunyai sikap mental yang betul daripada mencapai matlamatnya, dan tiada apa yang mampu menolong orang yang bersikap negatif.
"Satu azam yang saya tetapkan adalah untuk sentiasa bangkit dari hal remeh-temeh. Kita bangkit mengatasi segala perkara negatif, dan walaupun ada yang cuba menjatuhkan semangat kita, tetapi kita lebih dirahmati untuk dirisaukan dengan tanggapan orang lain," kata Tunku Ismail.
Di separuh akhir, JDT akan menentang FELDA United yang menewaskan juara 32 kali, Selangor dalam satu lagi aksi suku akhir.-BERITA HARIAN
Video aksi TMJ tendak tiang.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib