Wednesday, 8 October 2014

Suspek tikam pemandu bas ditahan

SEORANG anggota polis (kanan) mengiringi wanita yang dipercayai terlibat dalam kes menikam seorang pemandu bas Rapid Penang dibawa ke Mahkamah Majistret Pulau Pinang, semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Seorang wanita dipercayai kurang siuman yang menikam pemandu bas Rapid Penang Sdn. Bhd. (Rapid Penang), di kawasan Bukit Relau berhampiran Paya Terubong, semalam telah ditahan hari ini.

Suspek berusia 48 tahun itu ditahan di rumahnya di Jalan Paya Te­rubong, di sini pada pukul 7.30 pagi sebelum direman selama empat hari untuk membantu siasatan.
Perintah tahanan reman dikeluarkan oleh Majistret Dianee Ningrad Nor Azhar di sini, kira-kira pukul 2 petang.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi berkata, polis turut merampas sebilah pisau berukuran 8.5 sentimeter yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

"Hasil soal siasat, suspek mengaku menikam mangsa kerana lelaki itu tidak berhenti di tempat yang dikehendakinya," katanya.

Dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, mangsa, Aisyamudin Yaacob, 27, cedera parah setelah ditikam lebih sekali di bahagian paha kirinya oleh suspek di kawasan Bukit Relau berhampiran Paya Terubong.

Sementara itu, Aisyamudin dilaporkan masih kritikal dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Pulau Pinang (HPP).

Dalam pada itu, Pengarah Kumpulan Divisyen Bas Prasarana, Zulkifli Mohd. Yusoff berkata, pihaknya akan mengkaji langkah-langkah untuk meningkatkan keselamatan pemandu bas syarikat tersebut.

"Kita akan cari jalan terbaik dengan kerjasama Kesatuan Sekerja Rapid Bus Sdn. Bhd., Pada masa sama, pihak syarikat juga akan membantu keluarga mangsa yang datang dari Kelantan untuk menemaninya di HPP," ujar beliau.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abdul Rahim yang turut melawat mangsa dan menghulurkan sumbangan, menggesa langkah keselamatan dititikberatkan dalam semua bas kendalian syarikat berkenaan.-UTUSAN

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib