Sunday, 27 July 2014

Sambut Aidilfitri dengan penuh kesyukuran – Ahmad Razif

Salam Aidifitri dari Menteri Besar Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengajak rakyat negeri ini menyambut Aidilfitri tahun ini dengan penuh rasa syukur di atas segala nikmat yang telah dikurniakan Allah s.w.t, termasuk suasana aman dan damai.
Rakyat negeri ini amat bertuah kerana dapat menyambut hari lebaran bersama-sama anak isteri, saudara mara dan rakan taulan dalam keadaan yang aman tanpa sebarang gangguan dan ancaman keselamatan.
Katanya, suasana di Terengganu dan Malaysia amat jauh berbeza dengan negara-negara luar yang bergolak dan menghadapi peperangan akibat keadaan politik negara mereka yang kurang stabil.
“Saya mahu rakyat negeri ini mempertahankan keamanan yang kita kecapi ini dan terus mendokong kerajaan supaya negeri Terengganu dan negara Malaysia menjadi lebih stabil di masa depan.
“Jika kuasa politik kita stabil dan ekonomi negara semakin kukuh, sudah tentu negara kita sukar diugat oleh pihak-pihak tertentu yang mahu melihat kejatuhan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan media kepada teganukita.my
Menteri Besar dan isteri, To’ Puan Halina Zakaria mendoakan agar seluruh rakyat negeri ini terus berpeluang merayakan Aidilfitri dalam keadaan aman dan dilindungi daripada mereka yang berniat jahat dan mahu menimbulkan huru hara dalam negara.
“Ambilllah kesempatan menyambut hari raya ini dengan meneruskan amalan kunjung mengunjungi dan ziarah menzirahi sesama kita sepanjang musim perayaan ini.
“Kukuhkan silaturahim dan ketepikan segala selisih faham sebelum ini. Jadilah rakyat yang terus bersatu dan saling hormat menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Beliau turut meminta anak-anak Terengganu yang berada di perantauan supaya berhati-hati dalam perjalanan pulang serta memandu mengikut peraturan bagi mengelakkan tragedi tidak diingini.
“Sekali lagi Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua rakyat Terengganu, maaf zahir dan batin,” katanya.-TEGANUKITA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib