Sunday, 27 July 2014

Cuaca baik diramalkan pagi raya, hujan sebelah petang di Terengganu

Cuaca di Terengganu diramalkan cerah di waktu pagi hari raya Aidilfitri.
Cuaca di seluruh negara pada keseluruhannya diramalkan baik pada waktu pagi Hari Raya Aidilfitri yang dijangka disambut Isnin ini.
Bagaimanapun, hujan diramalkan berlaku di beberapa tempat di kawasan pantai di Pulau Pinang, Perak dan Kedah, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi hari ini, lapor Bernama.
Pada sebelah petang hujan sementara dijangka berlaku di satu dua tempat di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Selangor, Kuala Lumpur serta Perak dan keadaan sama turut berlaku di Bintulu, Kapit, Miri dan Limbang di Sarawak.
Menurut kenyataan itu ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Sandakan, Sabah, manakala bahagian-bahagian lain di negeri itu diramalkan hujan sementara.
Pada waktu malam pula beberapa kawasan di Pahang, Johor serta Miri dan Limbang di Sarawak selain Sandakan dan Tawau di Sabah dijangka mengalami hujan, manakala cuaca di negeri-negeri dan bahagian lain adalah baik.
Kenyataan itu juga menyebut semua bahagian di Sarawak dijangka meraikan hari kedua Aidilfitri dalam cuaca baik pada sebelah pagi kecuali beberapa kawasan pantai di Perak, Selangor, Kudat dan Pantai Barat Sabah serta Labuan dijangka hujan.
Sementara itu, ribut petir diramal berlaku pada sebelah petang di beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Perak, manakala Kedah, Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan dijangka mengalami hujan sementara di beberapa kawasan.
Ribut petir juga dijangka melanda beberapa kawasan di Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Bintulu, Kapit serta Limbang dan keadaan sama juga diramal berlaku di Sandakan dan Tawau di Sabah.
Pada waktu malam pula beberapa tempat di Terengganu, Pahang, Johor selain Kapit dan Miri di Sarawak serta Sandakan dan Tawau di Sabah dijangka mengalami hujan.
Cuaca di negeri-negeri serta bahagian-bahagian lain adalah baik, menurut kenyataan itu.-TEGANUKITA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib