Tuesday, 29 July 2014

Anak Terengganu Hafifi raih emas pertama negara

Hafifi Mansor sumbang emas pertama Malaysia di Sukan Komanwel.
Atlet angkat berat negara, Mohd. Hafifi Mansor menepati ramalan apabila meraih pingat emas pertama buat kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel XX di sini semalam.

Mohd. Hafifi, 24, yang mengambil bahagian dalam kelas 69kg, menampilkan aksi cemerlang dengan jumlah angkatan 305kg menerusi snatch 135kg dan clean & jerk 170kg pada final di Scottish Exhibition and Conference Centre Precint di sini.

Pingat perak dimenangi Yinka Ayenuwa dari Nigeria dengan 302kg manakala pingat gangsa menjadi milik Omkar Otari dari India dengan 296kg.

Seorang lagi, peserta negara, Mohammad Huzairi Ramli menamatkan saingan di tempat kelima dengan jumlah angkatan 290kg.

Mohd. Hafifi menyifatkan kejayaan pingat emas itu merupakan hasil kesabaran dan mematuhi arahan jurulatihnya yang tidak mahu dia terjebak dengan perang psikologi daripada pihak lawan.

"Pada mulanya saya memang geram dan tercabar sebaik melihat atlet dari Nigeria (Yinka Ayenuwa) itu mahu membuat angkatan seberat 176kg bagi clean & jerk. Saya memang berniat untuk memintas berat angkatannya tetapi jurulatih tidak membenarkan saya berbuat demikian.
"Ini kerana beliau tahu ia lebih kepada serangan psikologi sahaja dan meminta saya bersabar. Hasilnya pingat emas milik kami," katanya kepada pemberita di sini.

MOHD. Hafifi Mansor meraikan kejayaan memenangi pingat emas pertama negara bagi acara angkat berat kategori 69 kilogram dalam Sukan Komanwel XX 2014 di Glasgow, Scotland, semalam. - AFP
Mohd. Hafifi turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan penyokong yang memberi sokongan menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

"Kemenangan ini adalah untuk Mak (Norizam Embong) di kampung (Kuala Terengganu), setiap kali saya membuat angkatan saya akan menyebut nama Mak, terima kasih Mak yang sentiasa menyokong serta mendoakan saya," katanya.

Mohd. Hafifi turut meluahkan hajatnya untuk membantu keluarga dengan hasil duit ganjaran yang dijangka bernilai RM80,000.

"Saya mahu menggunakan duit ganjaran nanti untuk membantu ibu saya membeli rumah di Kuala Terengganu," katanya. - BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib