Sunday, 27 July 2014

(4 GAMBAR) Lima maut dalam 2 kemalangan di Gua Musang

Keadaan kereta Alza dan Grand Livina selepas kemalangan.
Lima termasuk tiga sahabat maut manakala empat lagi cedera dalam dua kemalangan yang berlaku di Jalan Chiku Aring, berhampiran Felda Aring 8 serta Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, Rantau Manis, dekat sini hari ini.

Kemalangan per­tama berlaku kira-kira pukul 8 pagi membabitkan sebuah keluarga dari Kuala Terengganu yang dalam perjalanan pulang untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri di Kampung Bertam, di sini.

Mangsa, Mohd. Kosim Rashid, 39, dan adik iparnya, Azliana Abdul Kadir, 30, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan manakala isterinya, Arini Abdul Kadir, 37, serta tiga anak mereka Umaira, 9; Mohd. Aniq Aizat, 10; dan Alisa Balqis, hanya tercedera.

Difahamkan, kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza yang dipandu Mohd. Kosim secara tiba-tiba terbabas dan memasuki laluan bertentangan setibanya di kawasan kejadian sebelum bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah hadapan.

Ibu kepada Azliana dan Arini, Rubiah Deraman, 58, berkata, dia sempat bercakap dengan anak-anaknya menerusi telefon semalam, yang memaklumkan mereka sekeluarga akan bertolak pulang ke kampung hari ini.
"Kira-kira pukul 11 pagi tadi, anak saya, Arini menelefon beritahu mereka terlibat dalam kemalangan. Hanya tuhan sahaja tahu betapa luluh hati saya menerima khabar buruk itu," katanya ketika di­temui di Hospital Gua Musang, di sini hari ini.

Sementara itu, kemalangan kedua pula berlaku kira-kira pukul 1.30 petang, melibatkan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dinaiki tiga sahabat yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kota Bharu.

Mangsa, Zulkifli Talib, 46; Suhariza Hasan, 36; serta Mohd. Zuki Ariffin, 41; maut di tempat kejadian selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas persiaran yang datang dari arah bertentangan ketika cuba memotong sebuah kenderaan lain di hadapan.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu, kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. Mangsa yang cedera turut dirawat di hospital sama.-UTUSAN


Anggota bomba mengeluarkan salah seorang mangsa yang tersepit dalam kereta dalam kemalangan di Felda Ciku 2, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, dekat Gua Musang, Kelantan, semalam.
Dalam kejadian kedua di Kilometer 17 Jalan Gua Musang- Kuala Krai kira-kira jam 1.30 petang membabitkan sebuah kereta dengan bas persiaran menyebabkan tiga sahabat dalam sebuah kereta Proton Wira maut di tempat kejadian.

Tiga mangsa yang maut itu dikenali, Suhariza Hassan, 35,  berasal dari Kampung Tawang Bachok, Zulkifli Talib, 46, berasal dari Kampung Temila Pasir Puteh yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah bank di Kuala Lumpur dan Mohd Zuki Ariffin, 41.

Kejadian itu dipercayai kereta dinaiki mangsa cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung dengan sebuah bas persiaran dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur, tetapi pemandu dan penumpang bas terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah ketika dihubungi berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang (HGM) untuk bedah siasat.

Sementara itu adik Zulkifli, Mohd Salmizi Talib, 28, berkata, dia tidak sempat bertemu dengan arwah walaupun  abangnya itu singgah di rumahnya di Kampung Merapoh, Kuala Lipis, untuk mandi bersama dua rakan yang lain.


BEGINILAH keadaan kereta yang dinaiki tiga mangsa yang maut dalam satu kemalangan di Kilometer 17, Jalan Gua Musang-Kuala Krai berhampiran Rantau Manis, Gua Musang semalam.
“Ketika itu saya sedang bekerja di Taman Negara Merapoh, tidak dapat pulang ke rumah. Kunci ditinggalkan kepada jiran bagi memudahkan arwah abang masuk dan berehat kira-kira jam 12 tengah hari.

“Saya sempat berpesan supaya pulanglah dahulu kerana saya juga akan pulang ke kampung menyambut Aidilfitri bersama esok kerana masih banyak kerja yang perlu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata, cukup pilu apabila menerima panggilan telefon daripada rakan menyatakan abangnya maut dalam kemalangan menyebabkan dia bergegas ke HGM.

“Sungguh sayu apabila mendapat tahu abang meninggal dunia dalam kemalangan itu dan sedih kerana tidak sempat berjumpa dengannya sebelum bertolak pulang ke kampung petang tadi (semalam),” katanya.-SINAR HARIAN

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib