Wednesday, 7 May 2014

Pemain dan penyokong Pahang cemas tiga jam di Larkin

POLIS mengawal keadaan cemas di luar Stadium Tan Sri Hassan Yunos, kelmarin.
Polis menahan empat lelaki di perkarangan Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, dekat sini selepas dipercayai cuba mencetuskan kekecohan sejurus tamat perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Pahang, malam kelmarin.  

 Dalam kejadian antara 10.45 malam hingga 12.50 tengah malam itu, kira-kira 2,000 penyokong JDT berkumpul di luar stadium sambil melakukan provokasi sehingga menyebabkan kira-kira 200 penyokong Pahang tidak berani keluar dari stadium.  Timbalan Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh, mengesahkan pihaknya menahan empat lelaki berkenaan bagi siasatan lanjut kes berkenaan.  
Polis menyuraikan penyokong JDT yang tidak mahu beredar dari perkarangan pintu masuk utama stadium 
 Hambur kata kesat   “Kita akan ambil tindakan lanjut terhadap pihak yang terbabit dalam kekecohan di stadium ini. Siasatan kes itu masih dijalankan,” katanya.   Dalam kejadian sejurus perlawanan tamat yang berkesudahan kedua-dua pasukan terikat 1-1, segelintir penyokong tuan rumah membuat provokasi dan menimbulkan kekecohan hingga menyebabkan penyokong serta pemain lawan terpaksa `berkurung' dalam stadium bagi mengelak kejadian tidak diingini.   

Tindakan provokasi segelintir penyokong termasuk menghambur kata-kata kesat menyebabkan situasi bertukar tegang dan memaksa pasukan keselamatan termasuk Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengambil langkah berjaga-jaga.  Bagaimanapun keadaan kembali pulih kira-kira jam 1.30 pagi semalam dan semua penyokong dan pemain keluar dengan selamat, selain tiada kemalangan jiwa atau kejadian tidak diingini dilaporkan.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib