Thursday, 1 May 2014

Pelakon Sari Yanti mohon bantahan nusyuz

Sari Yanti mohon ketepi permohonan nusyuz oleh suaminya.
PELAKON, Sari Yanti, memohon Mahkamah Rendah Syariah Daerah Petaling, Subang Bestari untuk memasukkan bantahan awal berhubung permohonan nusyuz yang difailkan suaminya, Mohd Edy Casmadi Che Hussain.

Perkara tersebut dimaklumkan Peguam Syarie, Marlina Amir Hamzah yang mewakili pelakon itu pada sebutan kes berkenaan, hari ini.

Marlina berkata, permohonan itu dibuat atas alasan terdapat satu lagi kes yang difailkan anak guamnya di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, yang mana ia membabitkan arahan amalan No. 13 tahun 2002 berhubung pertindihan pendengaran kes.

"Anak guam saya sudah menerima notis saman daripada plaintif (Mohd Edy Casmady) bagi kes ini pada 8 April lalu dan wakalah lantikan peguam juga sudah diserahkan kepada mahkamah.

"Bagaimanapun, pihak kami berhasrat untuk failkan bantahan awal memandangkan ada kes difailkan anak guam saya mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Sembilan) 2003, iaitu permohonan cerai," katanya.

Peguam Syarie, Fakhrul Azman Abu Hasan yang mewakil Mohd Edy Casmady bagaimanapun membantah permohonan itu atas alasan kedua-dua tuntutan, iaitu cerai dan nusyuz difailkan di dua mahkamah yang terletak dalam kawasan berlainan dan kesannya juga adalah berlainan.

"Saya percaya kes ini (nusyuz) boleh dibicarakan di mahkamah ini. Kes penting kerana akan menentukan pemberian nafkah kepada defendan.

"Justeru, saya membantah cadangan defendan untuk memasukkan bantahan, tetapi jika dibenarkan, saya mohon supaya ia dibuat secara bertulis," katanya.


Sari Yanti ketika bersama suami.
Hakim Syarie, Abd Halim Abu Samah kemudian membenarkan permohonan peguam Sari Yanti menetapkan 28 Mei ini untuk sebutan bagi defendan memasukkan bantahan awal, jika berhasrat untuk berbuat demikian.

Sementara itu, Fakhrul Azman ketika ditemui memberitahu, defendan bersetuju untuk menyerahkan hak jagaan dua anak kepada anak guamnya, manakala kes cerai yang difailkan kini dalam proses untuk Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Terdahulu, pada 7 Mac lalu, Mohd Edy Casmady, 34, memfailkan permohonan nusyuz mengikut Seksyen 60 (2) Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.

Tindakan itu diambil susulan tindakan Sari Yanti atau nama sebenarnya Sari Yanti Mohamad Nazari, 30, memfailkan permohonan cerai terhadap di Mahkamah Syariah Seremban, Negeri Sembilan, 25 Februari lalu.

Pasangan berkenaan berkahwin pada 16 Januari 2009 san dikurniakan dua anak lelaki, iaitu Barr Al Aliy, 4, dan Basit Al-Haq, 2.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib