Thursday, 1 May 2014

Pasangan suami isteri dituduh bunuh bayi berusia 14 bulan

 
Kok Shoo dan suaminya Yean Siang pada sebutan kes bunuh bayi di Mahkamah Majistret, Muar, semalam.
Sepasang suami isteri dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas dakwaan membunuh seorang bayi perempuan berusia 14 bulan ketika berada dalam jagaan mereka antara 16 April hingga 17 April lalu.   Tan Yean Siang, 35, dan isterinya, Tan Kok Shoo, 39, didakwa menyebabkan kematian Lim Yunn Jia di rumah sewa mereka di Jalan Omri, di sini. 


Pasangan itu mengaku faham terhadap pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Firdaus Md Isa.   Bunuh dengan niat   Firdaus menetapkan 27 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, selain ingin melihat laporan ujian kimia dan bedah siasat mangsa.   

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan berkenaan didakwa dengan niat menyebabkan kematian Yunn Jia kira-kira jam 6.30 petang pada 16 April hingga kira-kira jam 9.30 pagi, 17 April lalu, di rumah mereka di Jalam Omri, di sini.   Yean Siang dan Kok Shoo dituduh membunuh bayi itu dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.  

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya A Shaarmini, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.   Sebelum ini, akhbar melaporkan pasangan itu adalah guru sukarelawan di sebuah pusat kebudayaan di bandar ini dan menyewa rumah berkenaan sejak sebulan lalu serta menjadikannya sebagai pusat jagaan kanak-kanak pada sebelah siang.

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib