Thursday, 1 May 2014

Kelantan tetap laksana hukum hudud

Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah
Kerajaan Pas Kelantan bertekad akan tetap melaksanakan hudud di negeri ini walaupun tindakan tersebut mungkin mengundang perpecahan dalam pakatan pembangkang.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah sekali lagi menegaskan, hudud merupakan agenda Pas sejak sekian lama iaitu sebelum pakatan pembangkang dibentuk bersama DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Malah, katanya, pendirian Pas tidak akan berubah meskipun DAP yang selama ini begitu kuat menentang hudud mungkin keluar daripada pakatan pembangkang.

“Kalau dia (DAP) nak keluar, kita nak kata apa. Sebab itu hak dia. Masuk atau keluar (pakatan pembangkang), itu hak masing-masing. Bukan kita tak kisah tapi tidak boleh persoal hak dia.

“Kita akan buat (hudud) sebagaimana kita selalu sebut, pakatan ini baru muncul sedangkan hudud sudah lama dirancang. Inilah masa sesuai untuk laksanakan selepas Pas memerintah Kelantan selama 24 tahun," kata beliau kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Beliau ditanya kemungkinan tindakan Pas yang berkeras melaksanakan hudud boleh menyebabkan DAP keluar daripada pakatan pembangkang sehingga mengundang perpecahan dalam kalangan mereka.

Mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya ditangguhkan pelaksanaan hudud kerana tidak mempunyai institusi perundangan yang sesuai, Mohd. Amar berkata, Kerajaan Pas Kelantan telah bersedia dan akan menggunakan sistem kehakiman khas.

“Kita akan bentuk satu mahkamah khas untuk membicarakan kes-kes hudud seperti yang terkandung dalam enakmen itu. Selain itu, mahkamah rayuan khas syariah juga akan diwujudkan oleh Kerajaan Pas Kelantan.

“Kita sudah mempunyai senarai calon hakim, cuma kita belum membuat pemilihan lagi. Untuk mahkamah khas, kita memerlukan tiga hakim yang mana dua daripadanya berlatar belakang syariah. Manakala seorang lagi mempunyai latar belakang sivil.

“Lima orang hakim juga akan dilantik untuk mahkamah rayuan khas syariah itu nanti yang mana tiga daripadanya berlatar belakang syariah," katanya.

Mengenai persediaan Kerajaan Pas Kelantan untuk membentangkan rang-rang persendirian berkaitan hudud dalam Dewan Rakyat, Mohd. Amar memberitahu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dijadual bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat.

“Kedua-dua draf (Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 dan pindaan Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa) 1965) sudah disiapkan, cuma kita perlu bertemu secara rasmi dengan Kerajaan Persekutuan.

“Insya-Allah, Menteri Besar akan bertemu dengan Perdana Menteri untuk menjelaskan perancangan kita sebelum dibentang ke Dewan Rakyat," katanya.-Utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib