Wednesday, 2 April 2014

Wanita hamil maut kereta dirempuh lori dalam kemalangan langgar lari

Kereta mangsa remuk selepas terlibat nahas.
Seorang wanita sarat hamil maut selepas kereta dinaikinya dirempuh sebuah lori pasir di persimpangan lampu isyarat di Jalan Masai Baru, di sini yang turut meragut nyawa bayi dalam kandungannya.

Dalam kejadian jam 4 petang semalam, Noor Hayati Che Aziz, 30, yang duduk di kerusi penumpang hadapan dan sarat mengandung tujuh bulan, disahkan meninggal dunia sejurus tiba di Hospital Sultan Ibrahim (HSI). Adik lelakinya, Nasarudin, 20, pula parah dan dirawat di hospital sama. 
Kejadian berlaku ketika PROTON Persona dipandu suami Noor Hayati, Mohd Faizal Rosli, 31, yang turut membawa dua anak mereka, Muhamas Farhan, 6, dan Noor Fazliyana, 5, dalam perjalanan dari arah susur keluar Pasaraya Big Aeon Tebrau City menghala Taman Johor Jaya. 
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Sulaiman Salleh, berkata sebaik kenderaan itu tiba di persimpangan berkenaan, ia dirempuh sebuah lori pasir dari arah tepi sebelah kiri sebelum diseret sejauh 20 meter.

“Akibat rempuhan itu, seorang wanita yang hamil, cedera parah dan dikejarkan ke HSI, namun dia bersama kandungannya disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital. Adik mangsa pula parah dan dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya.
Beliau berkata, Mohd Faizal bersama dua anak pasangan berkenaan bagaimanapun hanya cedera ringan dalam kejadian terbabit, manakala pemandu lori menghilangkan diri sejurus kemalangan.

“Polis kini sedang memburu pemandu lori berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.-Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib