Thursday, 3 April 2014

Tiga calon rebut jawatan Presiden FAM?

TMJ dan Tengku Abdullah antara calon yang disebut-sebut bakal bertanding jawatan Presiden FAM.
Spekulasi mengenai kemungkinan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan ditandingi buat kali pertama dalam tempoh 30 tahun semakin kuat apabila tiga nama disahkan telah dicalonkan untuk jawatan berkenaan.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mengesahkan mengenai perkara itu, tetapi tidak mendedahkan nama-nama mereka yang dicalonkan oleh 20 badan gabungan bagi kongres kali ke-50 yang akan diadakan pada 25 Mei ini.

Walaupun tidak disahkan, namun perkhabaran terbaru ini menguatkan lagi spekulasi bahawa Presiden Persatuan Bola­sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Ibrahim merupakan antara yang akan bertanding selain pe­nyandang jawatan berkenaan, Sultan Ahmad Shah dan anakanda baginda iaitu Tengku Abdullah yang kini Timbalan Presiden.

Hamidin turut mengesahkan bilangan calon yang akan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Exco dan Ahli Jawatankuasa Eksekutif Wanita untuk merebut 17 kerusi yang ditawarkan pada penggal 2014-2018.

Buat masa ini, Hamidin mengesahkan Sekretariat FAM sedang menunggu jawapan daripada mereka yang telah dicalonkan sama ada akan mengambil pendirian bertanding atau menolak pencalonan mereka dalam tempoh sebulan sebelum kongres berlangsung.

Selain itu, beliau menjelaskan terdapat individu sama yang turut dicalonkan untuk jawatan lain dan mereka perlu menyatakan pendirian jawatan mana yang mereka pilih untuk ditandingi.

"Bagi Kongres FAM ke-50, setelah tarikh menghantar borang pencalonan ditutup pada 24 Mac lepas, Sekretariat FAM me­nerima tiga nama bagi kerusi Presiden, 10 bagi jawatan Timbalan Presiden, 17 untuk Naib Pre­siden, 35 exco dan 11 bagi exco wanita.

"Pihak sekretariat sedang melalui proses memaklumkan kepada calon-calon (mengenai pencalonan mereka).

"Mengikut statut FAM, semua calon ini perlu menyatakan pendirian mereka sebulan sebelum kongres berlangsung dan pengesahan penuh nama yang akan bertanding dijangka diketahui pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif pada pertengahan bulan ini," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) di Wisma FAM semalam.

Walaupun begitu, status sama ada akan terdapat pertandingan atau sebaliknya dijangka tetap bergantung kepada pendirian Sultan Ahmad Shah sama ada akan mempertahankan jawatannya kali ini. Jika baginda berhasrat untuk mengekalkan jawatan, kemungkinan besar Tengku Abdullah dan Tunku Ismail akan beralih kepada merebut jawatan Timbalan Presiden.
Jika tidak, prospek untuk melihat pertandingan satu lawan satu antara Tengku Abdullah dan Tunku Ismail ternyata cukup besar kerana difahamkan kedua-duanya menerima pencalonan yang seimbang.

Selain itu, dua penyandang Naib Presiden, Datuk Seri Subahan Kamal dan Datuk Seri Afandi Hamzah juga mengintai tempat Timbalan Presiden namun semuanya bergantung kepada percaturan Tengku Abdullah dan Tunku Ismail.

Beberapa nama lain turut dijangka menerima pencalonan bagi kerusi Naib Presiden seperti Naib Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Datuk Rosmadi Ismail; Pengerusi Jawatankuasa Tiket dan Pintu, Datuk S. Sivasundram dan Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS), Datuk Sudarsono Osman.

Dua tokoh besar bola sepak negara, Tan Sri Annuar Musa yang merupakan Timbalan Pre­siden FAM tidak boleh bertan­ding kerana masih perlu menjalani penggantungan hingga Oktober tahun ini, begitu juga dengan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Perlis (PFA), Datuk Shahidan Kassim.-utusan

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib