Tuesday, 22 April 2014

'The best man wins'- Sultan Ahmad Shah

Sultan Ahmad Shah pertahan jawatan Presiden FAM.
"The best man wins" (orang yang terbaik menang), demikian reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Sultan Ahmad Shah ketika diminta mengulas tentang persaingan tiga penjuru merebut jawatan itu sempena Kongres FAM Ke-50 pada 25 Mei depan. 

Menurut Sultan Pahang itu, baginda tidak kisah dicabar untuk jawatan yang telah disandang sejak 30 tahun lalu, malah menganggapnya pertandingan sihat.   

"Saya Presiden, Tengku Adullah pula timbalan presiden dan Tengku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim), ketiga-tiga nak bertanding. Perlu bersedia apa-apa sahaja kemungkinan," titah baginda. 

Baginda yang ditemui selepas merasmikan pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di sini hari ini turut menyatakan tidak gentar dan sedia menghadapi dua pencabarnya. 

Sultan Ahmad Shah juga menolak desas desus yang baginda akan menarik diri dari bertanding bagi memberi laluan kepada anakandanya Tengku Abdullah. 

"Saya tidak kata nak tarik diri, kenapa saya nak buat demikian. Saya tiada bantahan terhadap sesiapa mereka yang bertanding menentang saya. 

"Kita bagi kebebasan kepada semua, kalau kita monopoli nak menjadi itu (presiden) sampai mati, itu tidak ada demokrasi namanya. 

"Kalau saya sahaja (jadi presiden) pun tak betul juga. Pada 25 Mei depan kita akan tahu jawapannya. Kita sahut cabaran," titah baginda.

Menurut laporan 12 daripada 20 badan gabungan FAM telah mencalonkan Tengku Abdullah untuk jawatan presiden berbanding lima kepada Sultan Ahmad Shah. 

Manakala, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail pula mendapat tiga pencalonan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT) Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid mengumumkan akan bertanding kerusi naib presiden FAM. 
Menurutnya, beliau bertanding kerana berpendapat sudah sampai masanya badan induk bola sepak negara itu menjalani transformasi dalaman.  

"Banyak perkara perlu kita fikirkan untuk menaikkan mutu bola sepak negara," katanya. 
Beliau bercakap kepada pemberita ketika menghadiri majlis perjumpaan program Y.B Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukma 2014 dengan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri Rozi Mamat di sini hari ini. 

Turut hadir Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Zainal Abidin Hussin. - Bernama

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib