Wednesday, 2 April 2014

Terowong Larkin: FAM denda JDT hanya RM30,000 kerana kurang aspek keselamatan

JDT didenda RM30,000 kerana keselamatan yang lemah di Terowong Larkin.
INSIDEN 'panas' yang berlaku di dalam terowong Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor pada 1 Februari lalu masih mencetuskan tanda tanya.
Ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak dapat mendakwa individu tertentu kerana tidak mahu menganggu siasatan pihak polis dalam kes tersebut.
Begitupun, FAM tetap menjatuhkan hukuman terhadap Johor Darul Takzim (Johor DT) biarpun masih belum mengenal pasti mana-mana individu yang terlibat dalam insiden itu.
Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak memberitahu, Johor DT dikenakan denda RM30,000 selepas didapati bersalah kerana gagal menyediakan kawalan keselamatan yang mencukupi pada aksi pusingan kedua Piala FA itu ketika menentang T-Team.
Dalam perlawanan tersebut, T-Team menarik diri daripada meneruskan aksi babak kedua apabila pemain importnya, Elvado Rodrigues dan jurulatih kecergasan, Stefano Impagliazzo mendakwa mereka dikasari di dalam terowong di Stadium Tan Sri Hassan Yunos selepas tamat babak pertama.
"Siasatan kes ini telah dijalankan pihak polis dan saya dimaklumkan, ia sudah sampai kepada Jabatan Peguam Negara.
"Jadi, kami akan menunggu tindakan lanjut pihak polis dan buat masa ini, kami tidak akan meneruskan kes ini.
"Ini kerana kami gusar akan ada dua keputusan berbeza apabila kes itu dihadapkan ke mahkamah," kata Taufek selepas mempengerusikan Mesyuarat Tatatertib FAM di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.
Bagaimanapun, Taufek menjelaskan FAM, masih berhak mengambil tindakan sekiranya tiada dakwaan lanjut dilakukan oleh pihak yang berkenaan.
"Kami di FAM masih mempunyai tempoh dua tahun untuk mengambil tindakan mengikut Kod Tatatertib.
"Namun, jika mahkamah dapati tiada kesalahan, apa lagi yang boleh kami lakukan," katanya.
Terdahulu, Jawatankuasa Tatatertib FAM bersidang selama lebih 10 jam dengan memanggil lima saksi untuk menyelesaikan insiden yang berlaku di Larkin.
Lima individu itu termasuklah Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superintendan Abdul Samad Salleh dan Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Negeri Johor (PBNJ), Mohd. Fahmy Yahya.
Mengulas lanjut, Taufek berkata, Johor DT masih dibenarkan membuat rayuan terhadap hukuman tersebut disebabkan denda itu bukan paling minimum.
"Jawatankuasa Tatatertib FAM hanya mengambil khusus dalam soal keselamatan yang berlaku di dalam terowong sahaja.
"Setelah mengambil kira daripada pelbagai sudut, pihak kami mendapati bahawa Johor DT dikenakan denda gara-gara kesalahan kelemahan tahap keselamatan.
"Mereka didenda RM30,000 atas kesalahan tersebut dan berdasarkan Kod 56.1 Tatatertib FAM 2012, mereka dibenarkan membuat rayuan kerana hukuman minimum adalah RM20,000," katanya.-kosmo

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib