Thursday, 17 April 2014

'Saya tak tahu itu Karpal Singh' - Pemandu lori

Kereta Toyota Alphard yang dinaiki Ahli Parlimen Bukit Gelugur Karpal Singh yang terlibat kemalangan pagi tadi.
"Saya tak tahu itu Karpal," demikian reaksi pemandu lori, Abu Mansor Mohd, 45.

Menurutnya, sebaik perlanggaran berlaku, dia segera meninjau keadaan MPV berkenaan dan mendapati ada mangsa yang cedera.

Katanya, terdapat beberapa kenderaan berhenti di laluan itu dan memaklumkan mangsa yang terlibat merupakan bekas pemimpin tertinggi DAP.

"Waktu itu baru saya tahu itu Karpal, ketika itu dia berada dalam keadaan tidak sedar, sebahagian mukanya ada kesan darah," katanya.

Dalam kejadian itu, Karpal, 74, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor bersama pembantu peribadinya, Micheal Cornelius, 39, maut.

Turut berada dalam MPV berkenaan, anak Karpal, Ramkarpal Singh, 38, namun tidak cedera, pemandu MPV, C Selvam juga tidak mengalami sebarang kecederaan.

Seorang lagi penumpang yang juga pembantu rumah warga Indonesia parah dan kini dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Difahamkan, semua ahli keluarga Karpal, termasuk isteri beliau sudah berada di hospital.

Insiden kira-kira jam 1 pagi itu berlaku, apabila MPV jenis Toyota Alphard membawa Karpal hilang kawalan sebelum merempuh bahagian belakang sebuah lori muatan 5 tan di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara Selatan.

Karpal dikatakan dalam perjalanan ke Pulau Pinang untuk menghadiri satu kes perbicaraan mahkamah, pagi ini.


'Saya dengar orang jerit minta tolong'

"Saya dengar orang jerit minta tolong, kuat sangat," kata Nur Azlina Ahmad, penumpang lori yang terbabit dalam nahas mengorbankan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh, awal pagi tadi.

Nur Azlina, 23, berkata, ketika kejadian, lori dipandu suaminya, Abu Mansor Mohd, 45, berada di laluan kiri dan dipandu perlahan.

Bagaimanapun menurutnya, secara tiba-tiba, kenderaan mereka dirempuh kuat dari arah belakang.

"Serentak itu saya dengar suara lelaki menjerit, ada juga yang minta tolong," katanya.

Nur Azlina bersama suami dan anak perempuan mereka, Nurieman Diana Qhaleesha dalam perjalanan menghantar barang simen, besi dan mozek ke Bukit Mertajam.

Ketiga-tiga mereka selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.-Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib