Thursday, 10 April 2014

Pelatih PLKN kantoi seludup rokok dalam roti sosej

Cubaan pelatih PKN menyeludup rokok yang disembunyikan dalam roti sosej terbongkar.
Kelicikan seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) untuk menyeludup 15 batang rokok dengan menyembunyinya di dalam tiga biji roti sosej di Sungkai, Perak tidak kesampaian apabila helahnya terlebih dahulu dihidu oleh pihak pengurusan kem.
Tindakan remaja berusia 17 tahun itu dikesan ketika jurulatih kem tersebut melakukan pemeriksaan terhadap pelatih Kumpulan 2, Siri 11 yang melapor diri pada Rabu.
Difahamkan, ketika melapor diri kepada pihak kem, remaja berkenaan mendakwa roti tersebut merupakan bekalan makanannya jika terasa lapar semasa menjalani latihan.
Bagaimanapun, prosedur setiap kem PLKN yang menuntut pemeriksaan terperinci dilakukan berjaya mengesan helah remaja terbabit.
Semasa pemeriksaan dilakukan terhadap remaja itu, dia kelihatan tenang dan enggan menyerahkan roti tersebut.
Bagaimanapun, seorang daripada jurulatih yang memeriksa roti tersebut menemui lima batang rokok yang dibungkus kemas dengan plastik di dalam setiap biji roti.
Kesemua rokok itu kemudiannya dirampas dan pelatih berkemungkinan akan dikenakan hukuman kerana kesalahan menyeludup rokok.
Difahamkan, cubaan menyeludup rokok oleh pelatih bukanlah perkara baharu tetapi ia sentiasa dibendung oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan objektif mendisiplinkan remaja tercapai.-Mstar

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib