Thursday, 10 April 2014

Murid lapan tahun maut dihempap tiang gol

Tiang gol yang menghempap Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki di Batu Pahat.
Seorang murid Tahun Dua maut selepas dihempap tiang gol besi ketika bermain di padang permainan Taman Sri Wangsa, Jalan Parit Besar di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, Ahmad Ilham Fikri Ahmad Zaki, 8, meninggal di tempat kejadian akibat parah di kepala berikutan hentakan kuat.
Bapanya, Ahmad Zaki Mohd Abu Khairi, 36, berkata anaknya itu leka bermain berhampiran tiang gol bersama rakan.
Sebelum kejadian, beliau membawa tiga anaknya berbasikal di sekitar taman itu pada jam 6.10 petang sebelum mangsa dan abangnya, Ahmad Iqbal Fitri, 10, ditinggalkan untuk bermain.
“Kira-kira 20 minit kemudian, anak sulung saya menunggang basikal pulang ke rumah dan memaklumkan Angah (Ahmad Ilham) dihempap tiang gol.
“Saya bergegas ke padang dan mendapati anak saya terbaring kaku dengan kepalanya berlumuran darah.
“Ketika itu, tiang sudah dialihkan. Saya menjadi tidak keruan apabila mendapati anak saya sudah tidak bergerak.
“Beberapa penduduk membantu saya membawa Ahmad Ilham ke Hospital Sultanah Nora Ismail tetapi dia disahkan sudah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad, berkata 10 kanak-kanak dikatakan bermain berhampiran tiang gol itu sebelum struktur berkenaan rebah menimpa kepala mangsa.
Katanya, kejadian menyebabkan mangsa cedera parah di kepala dan berlaku pendarahan di kedua-dua telinga.
“Tiang gol itu berkarat dan tumbang sendiri manakala laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia berikutan pendarahan dalam otak,” katanya.-Berita Harian

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib