Tuesday, 8 April 2014

Laporan Audit: 5 Kementerian Akan Dipanggil, 121 Berdepan Tindakan – PAC

Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) akan memanggil lima buah kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kelima-lima kementerian berkenaan ialah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.
“Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang PAC dimaklumkan tidak mengikut spesifikasi dan tidak mendapat sijil layak menduduki (CF).
“Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk Rela khususnya sepatu anggota,” katanya.
Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.
Tambah Nur Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.
“Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
“Biarpun KWSP mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah besar dan bertambah dari tahun ke tahun. PAC perlu penjelasan daripada KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam pelaburan antarabangsa,” jelas beliau.
Mengenai hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas, Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.
Jelas beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.
“Daripada 92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan penyampaian perkhidmatan),” kata Nur Jazlan.


Mereka yang diambil tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman, seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya. – BERNAMA

0 comments:

Post a Comment

Top Ad 728x90

Copyrights @ Berita Sini - Blogger Templates By Templateism | Templatelib